KPJ Healthcare umum lantik Sherene Azli sebagai Ketua Pegawai Pemasaran
Azyyati Ahmad
November 16, 2023 11:34 MYT
November 16, 2023 11:34 MYT
KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) mengumumkan pelantikan Sherene Azli sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) baharu, mulai hari ini.
Sherene, yang dikenali sebagai pemimpin berpengalaman, membawa rekod prestasi cemerlang dalam industri telekomunikasi dan agensi kerajaan.
Sebelum ini, Sherene telah memimpin Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang mencapai kejayaan dengan mengangkat martabat Malaysia sebagai Destinasi Penjagaan Kesihatan nombor satu global pada 2019.
Beliau juga beberapa kali menerima anugerah berprestij International Medical Travel Journey (IMTJ) sebagai Destination of The Year.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, menyambut baik pelantikan Sherene sambil menyatakan keyakinan bahawa pengalaman luas Sherene akan memperkasa misi KPJ Healthcare dalam merevolusi ekosistem penjagaan kesihatan.
Keat Chyuan turut menekankan, kepimpinan Sherene akan menjadi pendorong utama dalam mengkukuhkan kedudukan KPJ Healthcare sebagai peneraju industri.
Sherene yang mempunyai latar belakang pendidikan yang kukuh dan pengalaman lebih dari 27 tahun dalam pelbagai sektor, dianggap sebagai aset berharga bagi KPJ Healthcare.
Dalam responsnya terhadap pelantikan ini, Sherene menyatakan komitmen untuk mengemudi perubahan positif dalam sektor penjagaan kesihatan, serta memacu pertumbuhan perniagaan KPJ Healthcare ke peringkat yang lebih tinggi.
Dengan kemahiran kepimpinan yang tinggi dan pandangan strategik yang terbukti, Sherene dijangka dapat menangani cabaran kompleks dalam industri penjagaan kesihatan.
Pelantikan beliau diharapkan akan membawa impak positif dalam memacu pertumbuhan berterusan bagi KPJ Healthcare.