KPJ Healthcare meterai kolaborasi strategik dengan Mayo Clinic, ubah landskap perubatan Malaysia
Astro Awani
Februari 17, 2024 09:45 MYT
Februari 17, 2024 09:45 MYT
KPJ Healthcare Berhad hari ini melakar sejarah apabila menjadi satu-satunya rangkaian
hospital di Malaysia yang memeterai kolaborasi strategik bersama Mayo Clinic.
Kerjasama tersebut adalah melalui dua hospital pakar iaitu KPJ Damansara Specialist
Hospital dan Damansara Specialist Hospital 2 yang mendapat akses penuh kepada sumber
klinikal serta perkhidmatan Mayo Clinic yang berteknologi tinggi.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan berkata pencapaian tersebut merupakan satu anjakan besar dalam menerajui sektor penjagaan kesihatan Malaysia sekaligus menetapkan piawaian baharu.
“KPJ Healthcare berhasrat untuk memanfaatkan pengalaman, sumber dan amalan terbaik Mayo Clinic dalam meningkatkan kepakaran dan kemahiran pengamal perubatan kami sendiri.
"Kami yakin bahawa strategi ini bukan sahaja hanya akan meningkatkan hasil dan kualiti rawatan pesakit bahkan turut menyumbang kepada pembangunan negara,” kata Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan.
Melalui kerjasama itu, Mayo Clinic akan turut membuka peluang kepada pengamal perubatan profesional untuk mengaplikasikan bahan material berkaitan pendidikan kesihatan dan berkecimpung dalam pembangunan profesional serta pendidikan perubatan berterusan.
Mengulas mengenai kerjasama julung kalinya dengan Malaysia, Pengarah Perubatan Eksekutif Mayo Clinic, Dr. Stacey Rizza berkata pihaknya akan memberi akses penuh keahlian dalam Mayo Clinic Care Network termasuk AskMayoExpert, eBoards dan Health Care Consulting.
"Kami amat berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Hospital Pakar KPJ Damansara dan Hospital Pakar Damansara 2 sebagai ahli Mayo Clinic Care Network.
"Organisasi kami turut berkongsi komitmen yang sama dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti yang memberi tumpuan khusus kepada setiap pesakit,” tambah beliau.
Turut sama hadir dalam upacara pemeteraian kolaborasi tersebut ialah, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hj Dzulkefly Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation Berhad, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim serta Pengerusi KPJ Healthcare, Datuk Md Arif Mahmood.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, berkata kolaborasi ini juga akan melonjakkan lagi sektor pelancongan kesihatan di Malaysia.
“Kita akan terus mengharapkan KPJ dan juga yang lain untuk memberikan suntikan yang baik khususnya dalam sektor penjagaan kesihatan swasta dan meletakkan Malaysia di satu kedudukan yang baik.”