KPI pensyarah perlu mencabar, namun tidak hingga membebankan - APM
Harits Asyraf Hasnan
Februari 18, 2021 18:16 MYT
Februari 18, 2021 18:16 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks prestasi utama (KPI) melibatkan pensyarah universiti di negara ini perlu mencabar, namun tidak sampai membebankan.
Presiden Akademi Profesor Malaysia, Prof. Datuk Seri Ts. Daing Mohd. Nasir Daing Ibrahim menegaskan, mana-mana KPI yang terlalu mudah, tidak sepatutnya menjadi KPI.
"Sesuatu KPI itu mesti mencabar supaya ia akan memerlukan usaha yang gigih dan kepakaran yang tinggi dan dedikasi untuk bekerja bersungguh-sungguh tetapi ia tidak boleh sehingga membebankan.
"Kalau KPI yang membebankan ia tidak boleh dicapai dan mungkin ia boleh menghasilkan apa yang dikatakan 'dysfunctional behavior' atau pelakuan yang tidak dikehendaki," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia pada Ahad yang menyatakan ada dalam kalangan ahli akademik menerbitkan tulisan akademik atau kajian menggunakan ‘jurnal pemangsa’ sebagai jalan pintas mencapai KPI masing-masing.
Jelas Daing Mohd Nasir, setiap ahli akademik berhak untuk memilih jurnal yang akan diterbitkan.
Namun, penilaian yang ketat daripada pihak universiti akan menentukan sama ada sesuatu penulisan akademik itu diterima pakai atau tidak.
"Pertama, pada saya, penerbitan adalah kekal penerbitan dan kita boleh terbitkan di mana-mana.
"Mereka boleh pilih untuk menerbitkan hasil mereka di tempat yang rendah kualiti, mungkin mereka boleh teruskan.
"Namun, adakah universiti menggunakan itu sebagai kriteria? Itu satu cerita lain," ujarnya.
Ujarnya, pendedahan melibatkan 'jurnal pemangsa' itu perlu dijadikan iktibar supaya institusi pendidikan tinggi negara terus diperkasa dan bertaraf global.
"Saya rasa setiap apa yang berlaku ini memberi kita isyarat untuk terus memperketatkan dan mengukuhkan kriteria yang kita ada dalam kenaikan pangkat.
"Perlu dipastikan supaya ia tidak boleh dicabar atau dianggap sebagai satu proses yang lemah," katanya.
#Indeks Prestasi Utama
#KPI
#KPI pensyarah
#jurnal pemangsa
#penulisan akademik
#kajian pensyarah
#penulisan jurnal
#penyelidikan
#pensyarah universiti
#pensyarah universiti beban