KPDNKK Tawau nafi dakwaan tular pasar raya jual sayur plastik

Bernama
Ogos 6, 2017 10:57 MYT
Hasil pemeriksaan ke atas pasar raya tersebut pada Jumaat lepas, kira-kira pukul 9 pagi menunjukkan tiada sayur plastik dijual seperti didakwa. -Gambar hiasan
Ketua Pejabat Kementerian Perdagangan Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Tawau Sam Aminuddin menafikan dakwaan yang tular di laman sosial kononnya terdapat sayur plastik dijual di sebuah pasar raya di sini.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas pasar raya tersebut pada Jumaat lepas, kira-kira pukul 9 pagi menunjukkan tiada sayur plastik dijual seperti didakwa.
"Pembekal sayur kepada pasar raya berkenaan turut dikenal pasti dan turut dipanggil selepas tular dakwaan sayur plastik dijual," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Pada Jumaat, pemilik akaun Facebook 'Nurul Syamia' telah memuat naik gambar serta status menyebut sayur plastik di Century Department Store Sdn Bhd di Batu 3.
Sementara itu, penolong pengurus pasar raya itu Hon Hock Jiang kesal dengan maklumat tidak betul yang ditularkan kerana boleh menjejaskan nama baik pasar raya berkenaan.
"Para pengguna di daerah ini, diharap agar lebih bertanggungjawab dalam melabelkan sesuatu produk, kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada perniagaan," katanya.
-- BERNAMA
#KPDNKK #Nurul Syamia #Sam Aminuddin #sayur #sayur plastik #Tawau
;