KPDNKK Perlis rampas 1,400kg minyak masak
Bernama
November 5, 2016 20:41 MYT
November 5, 2016 20:41 MYT
Sebanyak 1,400 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM7,664 dirampas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis dalam operasi di sini hari ini.
Pengarahnya, Khairul Amin Talib berkata minyak masak itu dirampas daripada sebuah kedai runcit di Chuping kerana didapati menyimpan stok barangan kawalan itu melebihi had 500kg yang dibenarkan pada satu-satu masa.
Pekedai itu dikesan menyimpan minyak masak paket 1kg dengan jumlah keseluruhan 1,162kg, 84 botol minyak seberat 2kg dan 14 botol minyak 5kg di premis itu, katanya.
Selain minyak masak, katanya, pihaknya turut merampas 1,300kg gula bernilai RM3,705 dari premis sama kerana gagal mematuhi lesen runcit bagi barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan bekalan 1961 (CSA).
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi pemeriksaan dan siasatan aduan di premis-premis sekitar Wang Kelian, Kaki Bukit, Chuping dan Kangar.
Katanya kes itu disiasat mengikut Peraturan 10(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara tiga tahun. --BERNAMA