KPDNKK kuatkuasa mekanisme kawalan harga baharu

Tan Su Lin
Januari 3, 2017 20:29 MYT
KPDNKK akan memulakan penguatkuasaan terhadap dua kategori barangan iaitu makanan dan minuman serta barangan isi rumah. - Gambar fail
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menguatkuasakan peraturan baharu berhubung kawalan harga dan antipencatutan mulai 1 Januari 2017.
Ia adalah bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2014 yang telah tamat tempoh pada 31 Disember 2016.
Menurut KPDNKK dalam satu kenyataan hari ini, Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi yang Tidak Munasabah Bagi Barangan) 2016 adalah terpakai kepada semua barangan.
"Bagaimanapun, KPDNKK akan memulakan penguatkuasaan terhadap dua kategori barangan iaitu makanan dan minuman serta barangan isi rumah."
"Barangan isi rumah adalah terdiri daripada jenis barang yang tidak tahan lama termasuk produk penjagaan diri. Keutamaan diberi kepada barangan ini kerana ia memberi kesan langsung ke atas perbelanjaan isi rumah dan kos sara hidup rakyat," menurut kenyataan itu.
Tempoh peralihan selama tiga bulan diberikan kepada peniaga bagi persediaan pematuhan kepada peraturan berkenaan.
Sebelum ini, rata-rata pengguna melahirkan kebimbangan bahawa peniaga akan dibenarkan untuk meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan mereka berikutan tamat tempoh Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi yang Tidak Munasabah) 2014.
#Antipencatutan #kawalan harga #kementerian perdagangan dalam negeri #Koperasi dan Kepenggunaan #KPDNKK
;