KPDNKK kompaun 19 peniaga durian di Negeri Sembilan
Bernama
Januari 11, 2018 04:47 MYT
Januari 11, 2018 04:47 MYT
Seramai 19 peniaga durian di Negeri Sembilan dikenakan kompaun berjumlah RM5,200 kerana didapati menipu orang ramai dengan menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak sah.
Kompaun tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan sempena 'Op Duri' yang diadakan di sekitar negeri itu bermula Isnin lalu.
KPDNKK, dalam kenyataan di sini Khamis malam, berkata kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972, kerana kesalahan mengguna atau memiliki alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan, ditandakan dengan cap, diperakui atau disahkan.
Operasi yang dijalankan terhadap 46 premis peniagaan durian di sekitar Mantin, Senawang, Jalan Pantai-Jelebu dan Kuala Klawang itu turut disertai pegawai daripada Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd (MCM).
MCM merupakan syarikat yang memberi perkhidmatan tentusahan dan tentusahan semula semua alat yang digunakan untuk menimbang dan menyukat.
"Op Duri ini juga bertujuan untuk memaklumkan kepada rakyat tentang pentingnya ketepatan timbang dan sukat dalam perdagangan dan tidak mudah terpedaya dengan peniaga yang ingin mengambil kesempatan dalam urus niaga yang melibatkan timbangan.
"Bagaimanapun, tiada sitaan barangan dibuat. Op Duri ini akan diteruskan sehingga berakhirnya musim durian di negeri ini," menurut kenyataan itu.
Pengguna yang mendapati terdapat peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan boleh menyalurkan aduan di talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC), talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 03-8882 6088/6245,
Aplikasi telefon pintar Ez ADU, emel e-aduan@kpdnkk.gov.my, SMS "KPDNKK ADUAN" ke 15888 atau hadir di mana-mana pejabat KPDNKK di seluruh negara.
-- BERNAMA