KPDNKK Kelantan buat persediaan pantau harga barangan menjelang kadar sifar GST
Bernama
Mei 27, 2018 05:40 MYT
Mei 27, 2018 05:40 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan membuat persediaan awal dalam memastikan tiada peniaga yang ingkar selepas pengurangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus bermula 1 Jun ini.
Timbalan Pengarahnya Firdaus Zakaria berkata sebagai permulaan sebanyak 50 premis peruncitan yang berdaftar dengan GST sudah dilawati dan dibuat dokumentasi harga.
Beliau berkata pemeriksaan itu adalah bagi memastikan harga yang dicatatkan selepas pemansuhan GST lebih rendah.
"Tindakan KPDNKK ini adalah sebagai memberi jaminan harga barangan keperluan isi rumah yang dikenakan GST akan turun bermula 1 Jun ini.
"Kita mahu tidak ada peniaga yang ingkar dengan enggan menurunkan harga dan sekiranya terbukti mereka ingkar, tindakan tegas akan diambil," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan barangan keperluan di Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, pada Ahad.
Beliau berkata pemeriksaan akan diadakan sekali lagi selepas 1 Jun ini.
GST mula dikuatkuasakan dalam negara pada 1 April, 2015 pada kadar standard enam peratus.
-- BERNAMA
#cukai
#dokumentasi harga
#Firdaus Zakaria
#GST
#Harga Barangan
#Kelantan
#KPDNKK
#pemeriksaan
#peniaga