KPDNKK jamin bekalan barangan keperluan mencukupi di musim perayaan

Bernama
Julai 8, 2014 18:57 MYT
ALIAS: Dua ratus ribu sukarelawan di seluruh negara turut membantu dengan membuat pemantauan harga barangan kawalan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan bekalan barangan keperluan adalah mencukupi di sepanjang musim perayaan pada tahun ini.
Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad berkata langkah agresif telah dijalankan bagi memastikan tiada peniaga yang menaikkan harga di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidil Fitri tidak lama lagi.
"Kami telah membuat perjanjian dengan persatuan pembekal dan pemborong sejak sebulan sebelum ketibaan Ramadan, dan mereka memberi jaminan bekalan barangan itu mencukupi," katanya kepada Bernama selepas menjayakan program 'Ala Carte Pagi' di Bernama Radio 24, Wisma Bernama, di sini pada Selasa.
Sementara itu, seramai 1,800 pegawai penguatkuasa dan 1,080 pegawai Pemantau Harga Secara Kontrak (PPS) bagi memantau harga barangan kawalan ini di kawasan pasar yang menjadi tumpuan ditempatkan di seluruh negara.
"Dua ratus ribu sukarelawan yang dikenali sebagai Skuad Pengguna di seluruh negara turut membantu dengan membuat pemantauan harga barangan kawalan ini, " katanya.
Beliau berkata Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Penghulu dan Penggawa turut terlibat untuk memastikan kawalan harga barangan ini dipatuhi.
Dalam pada itu, KPDNKK menetapkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan akan dikuatkuasakan bermula dari 20 Julai hingga 5 Ogos ini.
Katanya, antara barang kawalan berkenaan termasuk ayam meliputi ayam segar, ayam standard dan ayam super, telur ayam meliputi gred A,B dan C, daging segar meliputi daging tempatan dan daging import, ikan kembung serta sayuran.
Alias berkata di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, peniaga yang tidak mematuhi Skim Kawalan Harga pada musim perayaan akan dikenakan tindakan yang membawa hukuman antaranya denda sehingga RM250,000 bagi peniaga, dan korporat sehingga RM500,000.
Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai senarai harga di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan boleh melayari laman web rasmi KPDNKK.
#Aidil Fitri #Alias Ahmad #harga barang #kementerian perdagangan dalam negeri #Koperasi dan Kepenggunaan #KPDNKK
;