KPDNKK disaran wujud mekanisme pastikan kuota minyak masak penuhi keperluan

Bernama
November 10, 2016 07:30 MYT
KPDNKK disaran supaya mewujudkan satu mekanisme baharu bagi memastikan kuota minyak masak memenuhi keperluan negeri terlebih dahulu. - Foto Bernama
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) disaran supaya mewujudkan satu mekanisme baharu bagi memastikan kuota minyak masak di sesebuah negeri diedar bagi memenuhi keperluan negeri berkenaan terlebih dahulu.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Kedah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, setiap negeri diberikan kuota dan bagi Kedah, kuota keseluruhan 2,100 tan minyak masak diberikan kepada 14 kilang pembungkus setiap bulan.
"Namun ada yang dihantar ke negeri lain seperti Perak dan Perlis. Bagaimanapun, buat masa ini tidak ada peraturan ditentukan berhubung minyak masak dipaket di negeri ini dihantar ke negeri lain.
"Justeru kita harap KPDNKK mencari formula atau mekanisme berkesan dalam memastikan akhirnya rakyat Kedah mendapat bekalan minyak masak yang mencukupi," katanya.
Beliau yakin negeri lain seperti Perlis turut mempunyai kuota sendiri, dan atas sebab itu kerajaan negeri mahu sistem yang lebih baik diwujudkan yang memberi kesan positif kepada negeri-negeri," katanya kepada pemberita selepas meninjau kilang pembungkus minyak masak di sini pada Khamis.
Turut hadir, Pengarah KPDNKK negeri Kedah, Mohamad Fitri Hassan dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Negeri Kedah, Shahrudin Hamzah.
Sementara itu, Ku Rahman berkata, bekalan minyak masak di negeri ini dijamin mencukupi bagi menampung keperluan penduduk sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.
"Bahkan tinjauan hari ini mendapati, kilang pembungkus di sini, berupaya mengeluarkan kira-kira 20 tan minyak masak paket 1kg dalam sehari, dan jumlah ini cukup untuk menampung keperluan isi rumah di negeri ini.
"Bagaimanapun, jika ada kawasan mengalami kekurangan minyak masak atau berlaku kenaikan harga minyak masak dalam paket 1kg yang seharusnya dijual pada harga RM2.50, boleh memaklumkan kepada KPDNKK untuk tindakan sewajarnya," katanya. - BERNAMA
#Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail #KPDNKK #minyak masak
;