KPDNHEP tingkat pemantauan harga ayam
Astro Awani
Mei 22, 2020 09:16 MYT
Mei 22, 2020 09:16 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap harga jualan ayam di pasaran.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata menerusi skim harga maksimum musim perayaan (SHMMP) yang bermula pada Rabu, seorang peniaga ayam di sebuah pasar besar di Kuala Lumpur telah dikenakan kompaun.
Jelasnya, sebanyak tiga aduan berkaitan harga ayam, antaranya di Pulau Pinang dan Putrajaya, telah diterima.
“Bila kita sudah umum harga maksimum, dia jual katanya dalam RM9 dan pegawai kita pergi siasat memang ada betul. Jadi terus dikompaun RM2,500.
“Kita harap kalau harganya RM5 tetapi jual RM9 itu memang tidak beretika dan tidak patut,” katanya.
Beliau berkata pada hari pertama pelaksanaan SHMMP, sebanyak 2,437 premis perniagaan merangkumi 65 premis borong dan 2,372 premis runcit telah diperiksa di seluruh negara.
Sementara itu, sehingga 18 Mei, sejumlah 513 premis yang meliputi 27 ladang, 52 pembekal dan 434 peruncit yang menjual ayam telah diperiksa.
Sebanyak 386 notis telah dikeluarkan kepada peniaga ayam di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Menurut Rosol, hasil siasatan awal KPDNHEP mendapati berlaku kenaikan harga jualan ayam yang dipengaruhi oleh faktor kenaikan kos oleh pembekal serta peladang, dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengenainya.
#AHKAP 2011
#Ayam
#faktor kenaikan kos
#harga jualan ayam
#Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
#KPDNHEP
#pembekal serta peladang
#Rosol Wahid
#SHMMP