KPDNHEP terus lakukan pemantauan harga barang menjelang Gawai

Astro Awani
Mei 29, 2020 16:15 MYT
KPDNHEP memastikan bekalan makanan serta harga barang sempena musim perayaan ini adalah terkawal mengikut garis panduan ditetapkan. - Gambar fail
Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus memantau harga barang sepanjang musim perayaan ini dan memastikan pematuhan ini berterusan.
Menurut Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi ia dilaksanakan melalui garis panduan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang diperkenalkan kementerian itu.
Jelasnya, tahap pematuhan arahan itu di Sarawak setakat ini adalah memuaskan kerana tiada sebarang kompuan dikeluarkan sejak 20 Mei lalu.
“Mereka (peniaga) mematuhi arahan dikeluarkan malah ada beberapa gerai menjual ayam di bawah harga yang pihak kami hadkan. Sebagai contoh, RM8.50 harga maksimum bagi harga ayam tersebut, tapi ada yang menjual dengan harga RM7.80.
“Jadi ini tindakan betul kerana mereka melakukannya mengikut permintaan dan bukannya sewenang-wenang mengaut keuntungan,” katanya.
Dalam pada itu, Alexander turut memberi jaminan pihaknya akan memastikan peniaga patuh pada arahan dikeluarkan dalam menjaga keperluan pengguna pada musim perayaan ini terutama menjelang perayaan Gawai Dayak.
Ujarnya lagi, setakat ini pemantauan di seluruh negara mendapati kebanyakan kesalahan adalah terdiri daripada kes tiada tanda harga pada barangan dijual serta beberapa barangan melebihi harga maksimum.
“Sejak dikuatkuasakan lebih seminggu, pihak kami sudah melakukan 17,496 pemeriksaan. Terdapat 22 aduan, 48 kes beserta jumlah rampasan bernilai RM10,448.30. Jumlah kompaun yang telah dikenakan adalah RM118,000,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan kunjungan ke pasar basah di Bandar Riyal, Kota Samarahan bersempena pelaksanaan skim tersebut pada Jumaat.
Untuk rekod, SHMMP yang dilaksanakan bermula tahun 2000 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 adalah bertujuan untuk memastikan harga beberapa barang keperluan di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit sentiasa terkawal.
Skim ini dilaksanakan di seluruh negara dan harga yang ditetapkan adalah berbeza mengikut kawasan dan daerah.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #Datuk Alexander Nanta Linggi #Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna #KPDNHEP #SHMMP #Skim Harga Maksimum Musim Perayaan
;