KPDNHEP tempatkan 12 mesin retort di seluruh negara

Bernama
September 17, 2022 18:27 MYT
Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof (tiga, kiri) menunjukkan lebihan makanan yang telah melalui proses pembungkusan makanan dengan mesin retort. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Sekretariat Food Bank Malaysia sehingga kini telah menempatkan sebanyak 12 unit mesin retort di premis hotel dan katering di 10 negeri.
Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof berkata mesin itu berupaya meningkatkan jangka hayat lebihan makanan di antara 18 hingga 24 bulan dengan pembungkusan menggunakan teknik aseptik iaitu bebas daripada sebarang mikrorganisme membiak.
Beliau berkata sejak dilaksanakan pada Mei 2021, mesin yang mampu mengelakkan pembaziran terutama dalam sektor perhotelan itu berjaya menghasilkan 3,000 pek makanan retort dan telah memanfaatkan golongan sasar serta pelajar B40 bagi mengurangkan beban kos sara hidup di kampus.
"Anggaran satu mesin retort bernilai RM30,000 hingga RM40,000 jadi peruntukan yang kita guna adalah baki daripada mana-mana perbelanjaan yang tidak dapat dibelanjakan dan kita gunakan duit ini untuk beli mesin retort supaya kita dapat serahkan kepada pihak hotel, katering dan sebagainya bagi tujuan pembungkusan.
"Sekarang ia di bawah tanggungjawab kementerian cuma kemungkinan di masa hadapan kita akan memikirkan model terbaik untuk kita bekalkan mesin tersebut. Jadi saya harap ada kumpulan atau syarikat swasta yang ingin membantu kita dalam menggalakkan lagi penggunaan mesin retort ini," katanya.
Azman berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Plak dan Sijil Penghargaan Rakan Strategik Inisiatif Teknologi Pembungkusan Secara Retort serta Penyampaian Sumbangan Makanan Retort Program Food Bank Malaysia di sini hari ini.
Beliau juga berkata lebihan makanan yang dibungkus menggunakan mesin retort akan dapat membantu mangsa banjir pada musim tengkujuh kerana makanan lebih tahan lama dan mudah disediakan kepada kumpulan sasar.
"Kita akan bekerjasama dengan pihak terlibat seperti NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan sebagainya untuk memastikan bekalan makanan secara retort dapat disampaikan kepada mangsa, dan ini juga memerlukan banyak sumbangan daripada pihak lain," katanya.
-- BERNAMA
#KPDNHEP #mesin retort #Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna #Sekretariat Food Bank Malaysia #Azman Mohd Yusof
;