KPDNHEP Selangor sita barang tiruan jenama mewah bernilai RM10 ribu

Afiezy Azaman
Februari 1, 2019 15:26 MYT
Pegawai KPDNHEP Selangor memeriksa tiga premis di sekitar Shah Alam dan Klang.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyita sebanyak 407 unit barangan tiruan bernilai hampir RM10,000 di tiga premis sekitar Shah Alam dan Klang pada Khamis.
Serbuan yang disertai 9 pegawai penguatkuasaan KPDNHEP itu dilakukan berdasarkan risikan dan beberapa maklumat daripada wakil cap dagang.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata hasil serbuan mendapati terdapat penjualan pelbagai jenis pakaian dan beg tiruan antaranya berjenama Puma, Burberry, Michael Kors dan Tommy Hilfiger.
“Kami ada mengambil keterangan dari beberapa individu dipercayai pemilik premis berkenaan dan tiga tindakan kes telah dihasilkan di bawah Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.
“Jika sabit kesalahan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu,” katanya.
Manakala bagi individu atau pemilikan tunggal, denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
#Akta Perihal Dagangan #barang tiruan #Burberry #KPDNHEP Selangor #Michael Kors #Puma #Tommy Hilfiger #wakil cap dagang
;