KPDNHEP sasar peningkatan 2.5 peratus bagi jualan barangan tempatan tahun ini
Astro Awani
Oktober 14, 2022 23:18 MYT
Oktober 14, 2022 23:18 MYT
JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus bagi jumlah jualan barangan tempatan pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia membabitkan nilai jualan sebanyak RM3.28 billion yang ingin dicapai.
Katanya, barangan buatan negara terus menjadi pilihan utama pengguna berdasarkan trend peningkatan jualan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Jumlah jualan barangan Malaysia pada tahun lepas sahaja di Marketplace telah mencatatkan sebanyak RM142 juta meliputi 1,070,340 SKU (Stock Keeping Unit).
"Manakala jualan pelbagai barangan Malaysia di rangkaian hypermarket, pasar raya, kedai serbaneka dan kedai serbaneka di stesen minyak pula telah mencapai jualan sebanyak 173,239 SKU dengan nilai jualan sebanyak RM3.08 billion.
"Keberkesanan Kempen Beli Barangan Malaysia ini terserlah apabila barangan Malaysia menjadi pilihan utama pengguna.
"Ini terbukti berdasarkan trend peningkatan jualan sejak beberapa tahun lalu termasuklah ketika negara dilanda pandemik COVID-19." Katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2022 di Angsana Mall, di sini pada Jumaat.
Serentak dengan itu, KPDNHEP turut melancarkan Penandaan Logo Barangan Malaysia yang baharu bagi memberi peluang kepada lebih banyak syarikat untuk memohon dan mendapat pengiktirafan Penandaan Logo Barangan Malaysia.
"Penandaan logo Buatan Malaysia akan menjadi pemangkin serta memberi nilai tambah dan jaminan kualiti terhadap sesuatu produk keluaran tempatan kerana penggunaan logo ini perlu melalui melalui ujian saringan kualiti serta pembungkusan dan tidak diberikan sewenang wenangya.
"Penambahbaikan itu merangkumi peluasan kategori logo kepada produk Malaysia, buatan Malaysia dan rekaan Malaysia," tambahnya.
Jelas beliau, penguatkuasaan Penandaan Logo Barangan Malaysia baharu itu bakal bermula 1 November nanti.
KBBM kali ini melibatkan seramai 127 pempamer terdiri dari pengusaha pengusaha barangan tempatan serta syarikat-syarikat gergasi seperti Petronas, Proton, Perodua, Modenas
Di samping turut disertai rakan-rakan strategik yang lain termasuk Shopee, Lazada, PG Mall, Go Go Pasar, Shoppymore dan sebuah syarikat kreatif Les' Copaque.