KPDNHEP Sarawak laksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan
Rudi Affendi Khalik
Mei 20, 2020 20:19 MYT
Mei 20, 2020 20:19 MYT
Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak bakal kuatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bermula 20 Mei hingga 3 Jun 2020 iaitu selama 15 hari.
Ia dilaksanakan mengikut jadual sambutan Hari Raya Puasa yang dijangka akan disambut pada 24 Mei 2020 dan sambutan Gawai Dayak di Sarawak pada 1 Jun 2020.
Dalam satu kenyataan media, pihak KPDNHEP memaklumkan SHMMP wajar dilaksanakan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan tiada jaminan peningkatan harga tidak akan berlaku di pasaran walaupun bekalan barangan keperluan adalah mencukupi.
Pelaksanaan harga maksimum ini bertujuan untuk memastikan harga barangan terpilih adalah terkawal dengan penetapan harga siling di peringkat pasar basah dan penjaja kecil yang menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan.
Selain itu, pihak KPDNHEP Sarawak telah mengenal pasti 9 jenis barangan untuk ditentukan harga maksimum bagi pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa serta sebanyak 11 jenis barangan telah ditetapkan bagi SHMMP Hari Gawai.
Penentuan harga di Sarawak melibatkan 32 kawasan yang dibahagikan kepada lima (5) zon utama dengan perbezaan harga ditentukan oleh faktor geografi, lojistik dan punca bekalan diperolehi bagi sesuatu kawasan.
Penentuan harga barangan juga dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dengan turut mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga dari negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.
Senarai barangan harga terkawal bagi SHMMP Hari Raya Aidilfitri, dan Hari Gawai bagi negeri Sarawak adalah seperti berikut:
HARI RAYA PUASA;
(1) Ayam hidup
(2) Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)
(3) Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)
(4) Daging lembu import
(5) Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)
(6) Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)
(7) Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)
(8) Kelapa biji (pemborong)
(9) Kelapa parut (peruncit)
HARI GAWAI;
(1) Ayam hidup
(2) Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)
(3) Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)
(4) Ayam tua hidup
(5) Kepak ayam
(6) Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)
(7) Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)
(8) Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)
(9) Daging babi (perut)
(10) Daging babi (daging dan lemak)
(11) Babi Hidup (pengeluar)
Bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab, tindakan pengeluaran notis di bawah seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga barangan secara mendadak dan ketara.
Tindakan tegas juga akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan Skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Bagi orang awam, sekiranya didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang- undang berkenaan Skim ini, aduan boleh disalurkan kepada Kementerian melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau Portal e-aduan kpdnhep di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian Whatsapp 019-2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat Kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.
#Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011
#Hari Gawai
#Hari Raya Aidilfitri
#KPDNHEP
#Pesta Kaamatan
#Sarawak
#SHMMP
#Skim Harga Maksimum Musim Perayaan