KPDNHEP sah ada industri mohon naik harga barang, anggap ini bukan masa sesuai
Fareez Azman
Jun 28, 2021 17:01 MYT
Jun 28, 2021 17:01 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan menerima permohonan beberapa syarikat dan industri yang berhasrat untuk menaikkan harga produk mereka.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, bagaimanapun pihaknya berpandangan tindakan itu tidak bersesuaian dengan situasi ketika ini dan hanya akan membebankan rakyat.
"Permohonan ini melibatkan pelbagai jenis produk makanan dan bahan makanan serta barangan keperluan harian yang lain.
"Kementerian berpandangan bahawa ini bukanlah waktu yang sesuai untuk peniaga dan industri menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka.
"Langkah ini tentunya akan menambahkan beban kepada pengguna yang sememangnya telah terkesan dengan pandemik COVID-19," jelasnya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Tambah Nanta lagi, KPDNHEP turut menyeru semua pihak terutama komuniti peniaga dan pengguna agar bersama kerajaan dalam usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"KPDNHEP komited bagi memastikan kelangsungan ekonomi domestik dapat berjalan dengan baik meskipun negara berhadapan dengan cabaran penularan wabak COVID-19.
"Walauba gaimanapun, kementerian juga bertanggungjawab dalam melindungi hak dan kepentingan pengguna dalam mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua belah pihak," katanya lagi.
Dalam pada itu, Nanta berkata KPDNHEP telah memohon kepada kerajaan agar menyegerakan program vaksinasi khususnya barisan hadapan ekonomi supaya sektor berkenaan dapat divaksin sepenuhnya.
#KPDNHEP
#peniaga
#pengguna
#syarikat
#kenaikan harga barang
#pandemik
#Pelan Pemulihan Negara
#permohonan
#pandangan
#Alexander Nanta Linggi
#Menteri KPNDHEP
#ekonomi