KPDNHEP Sabah tumpas cubaan seleweng barang kawalan

Radhi Muslim
Julai 13, 2022 10:38 MYT
Susulan serbuan, seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an, yang dipercayai penjaga kapal, ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan. - Foto KPDNHEP Sabah
BELURAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah dengan bantuan anggota Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan dalam satu serbuan pada Selasa.
Ia melibatkan minyak masak dan diesel bersubsidi, dipercayai akan dijual ke negara jiran, yang dirampas ketika operasi dalam sebuah kapal di Sungai Kolapis, di sini.
Hasil serbuan pada jam 3.30 petang itu, pasukan penguat kuasa menjumpai 9,690 kilogram (kg) minyak masak peket 1kg di atas kapal dan minyak diesel dengan kuantiti 5,000 liter di dalam skid tank di kawasan berhampiran.
Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, nilai sitaan keseluruhan rampasan berjumlah RM1,904,975, termasuk kapal.
Menurutnya, pihaknya menjalankan risikan selama tiga minggu sebelum menjalankan serbuan.
"Susulan serbuan, seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an, yang dipercayai penjaga kapal di lokasi, turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.
"Berdasarkan keterangan awal, penjaga kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.
"Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Tambahnya, siasatan juga akan dijalankan untuk mengenal pasti rantaian kegiatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
#KPDNHEP Sabah #Beluran #minyak masak peket bersubsidi #seludup
;