IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merancang untuk mengadakan Karnival Barangan Malaysia (KBM) dalam skala yang lebih besar dan tempoh lebih panjang bermula tahun hadapan.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata karnival itu akan diadakan seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) yang mengumpulkan semua barangan tempatan di One-Stop Showcase daripada perabot, pakaian, fesyen, batik, automotif, gaya hidup, produk kesihatan dan barangan makanan.

"Bagi memantapkan lagi pengisian untuk memartabatkan barangan dan perkhidmatan hasil tempatan, persembahan dan pameran yang dapat menonjolkan kualiti produk tempatan seperti pertunjukan fesyen, pertunjukan kereta dan motor, pertandingan memasak dan pelbagai acara turut dirancang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian KBM 2022 yang melibatkan seramai 52 usahawan di pekarangan pasar raya Mydin Meru Raya di sini pada Sabtu.

Rosol berkata inisiatif penganjuran karnival ini diharapkan akan menyemarakkan lagi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2022 yang akan dilaksanakan sebanyak dua siri dengan siri kedua akan berlangsung di pekarangan Plaza Angsana, Johor Bahru pada 14 hingga 16 Oktober.

"KBBM2022 dijangka dapat membantu mengimbangi cabaran dan tekanan ekonomi global semasa khususnya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk atau perkhidmatan tempatan.

"KPDNHEP ingin menyeru agar Keluarga Malaysia keluar beramai-ramai untuk 'Jom Sokong dan Beli' Barangan Malaysia kerana sifat cintakan negara boleh dimanifestasikan dalam pelbagai cara antaranya dengan menyokong dan membeli produk dan perkhidmatan tempatan," katanya.

Rosol berkata pelaksanaan KBBM pada 2020 telah menyaksikan penjualan barangan tempatan bernilai RM3.3 bilion dengan bilangan unit simpanan stok (SKU) keseluruhan berjumlah 326,154.

"Pada 2021 pula, ia merekodkan jualan 173,239 SKU di pelbagai rangkaian pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka dan kedai serbaneka di stesen minyak dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3.08 bilion.

"Bagi pelaksanaan KBBM melalui dalam talian marketplace bagi 2020, sebanyak 281,864 SKU telah berjaya dijual dengan nilai RM145 juta dan tahun lepas menyaksikan lonjakan penjualan mencecah 1,070,340 SKU dengan jumlah hasil jualan sebanyak RM142 juta," katanya.

Sementara itu, pada sidang media Rosol berkata KPDNHEP memperhebatkan Program Pembangunan dan Transformasi Produk untuk membantu usahawan tempatan daripada aspek pembungkusan produk supaya menepati piawaian pasaran antarabangsa.

"Kerjasama turut dijalinkan dengan pasar raya asing di luar negara untuk memasarkan produk keluaran tempatan di luar negara selain kerjasama dengan kompleks beli-belah terkemuka untuk membuka peluang usahawan tempatan memasarkan produk," katanya.

Sementara itu, seorang peserta KBM yang juga pengusaha berasaskan batik Muhammad Azlan Yahaya, 26, berkata karnival seperti ini harus diteruskan kerana boleh membantu para usahawan di negeri ini dari sudut ekonomi.

"Sehingga hari kedua, jualan produk kami mendapat sambutan yang baik oleh pengunjung yang hadir, karnival seperti ini seharusnya dilakukan pada setiap tahun.

"Produk kami dibuat 100 peratus oleh anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Lenggong dan kelainan produk kami ialah penghasilan batik daripada tanah liat yang menggantikan lilin," katanya kepada Bernama.

Selain itu, seorang pemilik produk makanan berasaskan kek Zaidah Khuzaimi, 46, berkata karnival yang dijalankan selama tiga hari itu memberi impak positif kepada usahawan untuk melonjakkan produk jualan.

"Baru tengah hari, produk saya sudah tinggal separuh dan perlu menambah lagi dua kali ganda pada hari esok iaitu hari terkahir. Apabila adanya karnival sebegini, kami turut menurunkan harga produk agar para pengunjung dapat membeli dan merasainya dengan harga lebih murah," katanya.

-- BERNAMA