KPDNHEP rampas rokok tiruan RM3.38 juta di Pelabuhan Klang

Bernama
Oktober 22, 2020 23:30 MYT
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata siasatan awal mendapati rokok tiruan berkenaan diimport dari luar negara oleh sebuah syarikat yang beroperasi di Petaling Jaya. - Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya membanteras aktiviti pengedaran rokok tiruan apabila merampas satu kontena mengandungi 520,000 kotak rokok disyaki tiruan bernilai RM3.38 juta di Pelabuhan Klang, semalam.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman, dalam kenyataan hari ini, berkata siasatan awal mendapati rokok tiruan berkenaan diimport dari luar negara oleh sebuah syarikat yang beroperasi di Petaling Jaya dan disimpan sementara di Pelabuhan Klang.
"Wakil pihak syarikat memberi alasan rokok tersebut adalah untuk tujuan dieksport semula ke luar negara. Namun hasil pemeriksaan awal yang dilakukan terhadap ciri fizikal kotak rokok tersebut amat meragukan dan disyaki untuk pasaran tempatan," katanya.
Operasi semalam melibatkan sembilan pegawai penguatkuasa KPDNHEP dari Putrajaya serta disertai wakil pemilik cap dagang rokok berjenama 'John', dijalankan hasil maklumat dan risikan, katanya.
Iskandar Halim berkata kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekalkan atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan.
"Mana-mana individu mahupun syarikat yang melanggar undang- undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas," katanya.
-- BERNAMA
#KPDNHEP #Pengarah Penguatkuasa #Datuk Iskandar Halim Sulaiman #rokok tiruan #Klang #Pelabuhan Klang #Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
;