KPDNHEP perjelas isu kompaun peniaga ayam tular - Rosol
Ehsan A Marisah
April 8, 2022 20:54 MYT
April 8, 2022 20:54 MYT
KUALA LUMPUR: Kompaun yang dikeluarkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada peniaga ayam yang tular baru-baru ini, disebabkan tindakannya yang dipercayai melakukan dua kesalahan termasuk tidak mematuhi harga siling.
Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, siasatan pihaknya mendapati peniaga berkenaan dipercayai mengelirukan pembeli dengan meletakkan tanda harga bagi ayam RM8.90 sekilogram, namun menjual pada harga berbeza.
"Peniaga dikompaun kerana harga yang dicatatkan di meja atau tanda harga pada RM8.90 tetapi apabila ditimbang mereka (peniaga) menjualnya pada harga RM9.20 atau RM9.30 (melebihi harga siling iaitu RM8.90). Secara tidak langsung, ini mengelirukan pengguna. Ini satu kesalahan.
"Selain itu, ditanya di mana mereka mendapatkan bekalan ayam ini, mereka tidak memberitahu. Cuma mereka kata mereka dapat (bekalan) pada harga RM8.70. Memang kalau kita sendiri berniaga, mana mungkin kita ingin ambil RM0.20 sen untung sekilogram,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Progran Mega Walkabout di Bazar Ramadan@TLK Taman Tasik Permaisuri Kuala Lumpur anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena sambutan ulang tahun penubuhan SSM ke-20.
Dalam pada itu, Rosol menambah, KPDNHEP juga menyiasat dakwaan peniaga mendakwa diancam untuk tidak mendedahkan bekalan diperoleh mereka.
Sementara itu, Rosol berkata, pihaknya turut mendapati terdapat segelintir peladang yang bertindak menjual ayam tanpa menolak subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka.
“Jadi, ini kita rasa tidak boleh dibiarkan. Kita minta ladang untuk jual pada pemborong RM5.60 (sekilogram) tetapi maklumat diterima mereka dapat (bekalan) di ladang dengan harga RM6.30,” ujar beliau.
Sementara itu, Rosol berkata di bawah Ops Pantau yang dilancarkan oleh KPDNHEP bermula dari 3 hingga 8 April, sebanyak 88 kes direkodkan dalam tempoh tersebut.
Ia melibatkan jumlah sitaan sebanyak RM19,528 dan kompaun RM45,500, ujarnya.
“Tindakan di peringkat pengeluar (empat), borong (13), runcit (71). Manakala jenis Kesalahan dan rantaian peniaga yg dikenakan tindakan melibatkan jual melebihi harga maksimum (empat pengeluar, 13 pemborong, 25 peruncit dikenakan tindakan).
“Gagal guna tanda harga khas (40 peruncit dikenakan tindakan); tidak pamer tanda harga (6 peruncit)," ujarnya lagi.