KPDNHEP Perak sita barangan tiruan bernilai lebih RM34,000

Abd Razak Mohd Ali
Mei 20, 2022 11:00 MYT
Anggota penguat kuasa KPDNHEP ketika membuat serbuan di sebuah rumah teres yang disyaki dijadikan stor tempat menyimpan dan membungkus barangan tiruan berjenama terkenal. - Foto KPDNHEP
IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menyita barangan tiruan berjenama bernilai RM34,410 dalam serbuan di sebuah rumah teres, di sini, semalam.
Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, barangan itu terdiri daripada 1,147 helai seluar dan beg berjenama terkenal.
Menurutnya, kesemua barangan yang disita itu disimpan di stor ekshibit KPDNHEP Perak untuk siasatan lanjut.
Katanya, serbuan dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa di sebuah rumah teres setingkat di Taman Chempaka di sini, yang disyaki dijadikan stor tempat menyimpan dan membungkus barangan tiruan berjenama terkenal.
“Tindakan ini adalah hasil maklumat risikan anggota penguat kuasa KPDNHEP Perak dengan kerjasama wakil dari syarikat cap dagang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an ditahan untuk membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan pihak polis setelah rakaman percakapan diambil.
Beliau menegaskan, KPDNHEP memandang serius terhadap peniaga yang menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan-barangan berjenama yang melanggar undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barang bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM30,000 bagi setiap barang kesalahan seterusnya, jika ia dilakukan oleh pertubuhan perbadanan.
Bagi kesalahan yang dilakukan bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak lebih RM10,000 setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan seterusnya, didenda tidak melebihi RM20,000 setiap barang, atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Saifullizan berkata, selain menjaga hak pengguna, KPDNHEP turut memandang serius dalam melindungi hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama bagi membanteras penjualan barang-barang tiruan seterusnya dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing, terutamanya di Perak.
#KPDNHEP #barangan tiruan #rampasan #Saifullizan Kamarul Zaman
;