KPDNHEP Perak rampas lebih 3,000 minyak wangi, pelembap badan disyaki tiruan

Amirrul Rabbani
Julai 29, 2022 21:10 MYT
Operasi yang dijalankan 15 pegawai dan anggota penguat kuasa itu, pihaknya telah mengesan tiga kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019. - Foto KPDNHEP Perak
IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas minyak wangi dan pelembap badan pelbagai jenis disyaki tiruan dengan nilai rampasan di tiga premis berasingan di sekitar Ipoh, pada Rabu.
Pengarah KPDNHEP, Perak Saifullizan Kamarul Zaman berkata dalam operasi yang dijalankan 15 pegawai dan anggota penguat kuasa itu, pihaknya telah mengesan tiga kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Katanya, pada operasi berkenaan, sebanyak 3,400 unit minyak wangi dan 426 unit pelembap badan pelbagai jenis yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah telah dirampas.
Tambah beliau, selain itu, turut dirampas tanda harga, resit-resit dan dokumen peniagaan di premis terbabit dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM80,375.
“Semua kes akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 di bawah kesalahan Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.
“Sekiranya yang terlibat merupakan pertubuhan perbadanan, dan jika sabit kesalahan, mereka akan didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
“Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya lagi, sekiranya individu terlibat bukan pertubuhan perbadanan, mereka akan didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Sementara, bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang- barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu sekiranya orang ramai mempunyai sebarang aduan berkaitan, mereka boleh menyalurkan kepada KPDNHEP melalui saluran-saluran yang disediakan.
#KPDNHEP Perak #rampas #minyak wangi tiruan #Ipoh #Saifullizan Kamarul Zaman #pelembap badan
;