KPDNHEP nafi tetapkan harga air kosong RM1 segelas
Isabelle Leong
April 14, 2021 19:36 MYT
April 14, 2021 19:36 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bahawa kementerian itu tidak membuat sebarang penetapan harga RM1 bagi segelas air kosong.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan, pemeriksaan Ops Catut 8.0 (air kosong) diadakan sejak 7 April lalu adalah hanya untuk mendapatkan maklumat berhubung harga kos dan harga jualan air kosong.
“KPDNHEP ingin menegaskan bahawa kementerian tidak membuat sebarang penetapan harga barangan melainkan barangan harga terkawal atau barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan.
“Pemeriksaan melibatkan tindakan mendapatkan maklumat harga barangan dan kos dengan mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan/Perkhidmatan dan Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Antipencatutan 2011 kepada peniaga.
“Peniaga dikehendaki memberi maklum balas Notis Pengesahan Maklumat Baranagn/Perkhidmatan dalam tempoh dua hari bekerja dan menjawab Notis Bertulis dalam tempoh lima hari bekerja,” kata Alexander dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tegasnya, pengeluaran notis pengesahan maklumat tersebut kepada peniaga restoran atau kedai makan tidak bermaksud mereka bersalah dan dikenakan kompaun.
Sebaliknya, beliau berkata pengumpulan data menerusi pengeluaran notis berkenaan adalah bagi tujuan analisis dan kajian sebelum membuat penetapan harga pada minuman berkenaan.
“Kenaikan harga barangan yang terlalu tinggi atau tidak terkawal adalah asas kepada suatu tindakan pemeriksaan dilaksanakan.
“Bagaimanapun, ia tidak semestinya mencatut.
“Analisis pencatutan akan dilaksanakan setelah maklum balas notis diterima daripada peniaga,” katanya.
Pada 10 April lalu, Bernama melaporkan, KPDNHEP telah mengeluarkan sebanyak 84 notis terhadap peniaga premis makanan dan minuman di seluruh negara yang menjual air kosong pada harga melebihi RM1.
Menurut laporan itu, Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata kesemua notis tersebut dikeluarkan melalui Ops Catut 8.0 (air kosong) yang dijalankan susulan rungutan orang ramai yang mahukan agar kementerian memantau perkara berkenaan.
Arahan pemeriksaan Ops Catut 8.0 (air kosong) dilaksanakan bermula 7 hingga 15 April ini di restoran mewah, biasa, makanan segera, francais dan kedai makan atau warung.
Barangan yang diperiksa adalah air kosong, air suam, air ais, Nescafe tarik dan teh tarik panas.
#air kosong
#Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
#KPDNHEP
#Ops Catut 8 0
#Alexander Nanta Linggi
#pencatutan
#harga kos
#harga jualan
#Rosol Wahid