KPDNHEP Kuala Lumpur tumpas kegiatan seleweng diesel bersubsidi
Bernama
Julai 6, 2022 06:00 MYT
Julai 6, 2022 06:00 MYT
NILAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi bernilai RM21,930 di sebuah stor haram di Taman Perindustrian Perdana, Lukut, Port Dickson, tiga hari lepas.
Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata menerusi serbuan pada 4 petang hasil risikan selama dua minggu itu, sebanyak 10,200 liter minyak diesel disita selain dua lori tangki, sebuah lori "bonded", satu unit pam dan tiga unit hos minyak dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM123,000.
Beliau berkata siasatan awal mendapati terdapat sebuah lori "bonded" membuat pembelian diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Kuala Lumpur dengan kuantiti yang besar bagi setiap transaksi.
"Lori berkenaan membuat pembelian di sekitar Cheras, Sungai Besi dan Hentian Rehat dan Rawat di sebuah lebuh raya sebelum membuat penghantaran ke stor haram yang beroperasi di Lukut, Port Dickson.
Lori itu akan ke 16 stesen minyak dengan kutipan setiap hari dianggarkan melebihi 6,000 liter iaitu pembayaran hampir RM13,000 bagi keseluruhan transaksi yang dilakukan secara tunai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya ketika sidang media di sini semalam.
Ariffin berkata susulan itu empat lelaki tempatan termasuk seorang pemilik stor berusia dalam lingkungan 30 hingga 45 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam urus niaga barang kawalan tanpa lesen yang sah.
Beliau berkata sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan membeli minyak diesel di stesen minyak yang jauh iaitu kira-kira 110 kilometer dari Kuala Lumpur ke Lukut bertujuan untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
"Mereka akan melalui jalan yang agak sunyi bagi mengelakkan diekori oleh agensi penguat kuasa. Modus operandi baharu yang digunakan dengan cara keluar dari sempadan dan bergerak pada waktu siang," katanya.
Katanya kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang dan mengambil kesempatan terhadap subsidi diberikan kerajaan selain sebarang aduan boleh disalurkan menerusi portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) dan WhatsApp di talian 019-279 4317.
-- BERNAMA