KPDNHEP komited pantau punca kenaikan harga barangan di pasaran

Bernama
November 25, 2021 04:00 MYT
Nanta berkata KPDNHEP akan memanggil pihak syarikat itu pada Jumaat untuk memperoleh maklumat mengenai punca kenaikan harga produk berkenaan. -Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memantau harga barangan terutama makanan serta keperluan asas seperti roti jenama Gardenia yang dilaporkan akan meningkat bermula 1 Dis ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata KPDNHEP akan memanggil pihak syarikat itu pada Jumaat untuk memperoleh maklumat mengenai punca kenaikan harga produk berkenaan.
"Apabila harga naik nanti, kita akan buat sepertimana kita lakukan selama ini. Kita akan laksanakan libat urus, kajian dan bertanya kepada mereka akan punca kenaikan itu.
"Kita berharap dengan adanya maklumat itu, kita akan dapat mencari jalan untuk kita tangani masalah harga itu nanti," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Mengulas harga ayam dan sayur-sayuran, beliau berkata peningkatan kos operasi syarikat penternakan, kos import, kenaikan harga baja dan racun merupakan antara punca yang menyumbang kepada kenaikan harga produk itu di pasaran ketika ini.
"KPDNHEP telah membuat pemantauan dan kajian, kita dapati punca kenaikan harga ayam dan telur ayam ini adalah disebabkan oleh kenaikan kos operasi syarikat ternakan ayam.
"Sebahagian besar kos operasinya melibatkan kos makanan dengan hampir 100 peratus diimport dari negara asing seperti jagung dan soya.
"Dari segi sayur, ada sayur keluaran tempatan yang harganya naik kerana kita pada masa ini sudah sampai ke penghujung tahun iaitu musim tengkujuh yang sememangnya harga sayur akan meningkat. Selain itu, harga baja dan racun sebagai input untuk pengeluaran hasil buah-buahan dan sayur-sayuran ini juga sudah naik mendadak," katanya.
Mengulas lanjut, Nanta berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam usaha mengawal harga jualan serta harga runcit khususnya di peringkat pengeluaran.
Beliau juga berkata kerjasama KPDNHEP dengan pemain industri berkaitan penjualan dan pembekalan kit ujian kendiri COVID-19 di peringkat runcit kini sangat tinggi dalam usaha menangani penularan wabak itu.
"Memang ada kerjasama, saya sukacita memaklumkan kerjasama sangat tinggi antara pemain industri, kedai-kedai runcit dan sebagainya yang menjual serta membekalkan kit ujian kendiri COVID-19," katanya.
-- BERNAMA
#KPDNHEP #kenaikan harga barang #roti gardenia #Alexander Nanta Linggi
;