KPDNHEP kesan 2,212 kes penyelewengan barang kawalan bersubsidi dari 2016

Bernama
November 17, 2020 17:30 MYT
Kampung Jeram Perdah di Pasir Mas, Kelantan dengan Kampung Padang Nyor (Thailand) dipisahkan oleh alur Sungai Golok selebar empat meter sahaja ketika musim kemarau. -Gambar fail/ Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan 2,212 kes dengan nilai rampasan RM53,691,109 melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dari 2016 hingga Oktober 2020, bagi membendung penyelewengan barangan kawalan ke negara sempadan.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman dalam kenyataannya hari ini berkata, penyelewengan barang kawalan bersubsidi di sempadan antarabangsa Malaysia yang terdiri dari negara Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura, merupakan antara perkara utama yang menjadi perhatian pihaknya.
"Menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan menjadi teras utama kepada Bahagian Penguat Kuasa, KPDNHEP, walaupun isu penyelewengan barang kawalan di sempadan bukanlah suatu isu yang mudah ditangani," katanya.
Iskandar Halim berkata harga jualan barang kawalan di Malaysia yang lebih rendah serta bekalan yang mudah diperolehi, merupakan faktor utama mempengaruhi peningkatan permintaan dari penduduk di negara sempadan.
Katanya, jarak persempadanan yang pendek antara negara dan kewujudan lorong tikus menyebabkan aktiviti penyeludupan barang kawalan bersubsidi mudah dilakukan, selain faktor pertalian persaudaraan antara rakyat Malaysia dan negara jiran menyukarkan isu penyelewengan untuk ditangani secara holistik.
Iskandar Halim berkata tindakan pembatalan lesen barang kawalan ke atas pemborong dan peruncit yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi turut dilaksanakan dengan 14 buah syarikat pelesen barang kawalan telah dibatalkan mereka dari 2017 hingga 2019.
Menurutnya, orang perseorangan tetapi tidak termasuk pengarah atau pegawai suatu badan korporat atau syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, boleh dihukum denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Setiap badan korporat atau syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 apabila disabitkan kesalahan pula boleh dihukum denda tidak melebihi RM2 juta.
-- BERNAMA
#KPDNHEP #akta kawalan bekala 1961 #penyelewengan barangan kawalan #sempadan #negara jiran #Iskandar Halim Sulaiman #ketirisan
;