KPDNHEP Kelantan rampas 40 unit gula-gula 'Ghost Smoke'
Vivi Sumanti
Julai 23, 2019 18:43 MYT
Julai 23, 2019 18:43 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menjalankan pemeriksaan ke atas premis di sekitar bandar ini yang menjual 'Ghost Smoke Cool Fruit Powder' kepada pelajar sekolah.
Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan, pihaknya menemui dan merampas kira-kira 40 unit gula-gula tersebut yang dijual berhampiran sebuah sekolah di sini.
Katanya, pihak penguatkuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan ke atas premis-premis diadukan, terutamanya yang berhampiran dengan kawasan sekolah dan sempadan negara.
"Berdasarkan maklumat yang diterima, barangan ini dijual kepada pelajar sekolah pada harga 50 sen seunit dan bekalannya pula diperolehi dari pembekal di sekitar Kota Bharu.
"Pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti pembekal barangan tersebut sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Adnan berkata siasatan lanjut mendapati gula-gula Ghost Smoke berkenaan menggunakan label yang mengelirukan, logo halal yang diragui selain tiada tanda harga.
Katanya, semua produk berkenaan telah dirampas dan kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan atau didenda tidak melebihi RM100,000 bagi bukan pertubuhan atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Manakala jika bukan suatu pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
"KPDNHEP Kelantan akan sentiasa memantau dari masa ke semasa berhubung perkara ini dan kami meminta pihak yang yang terbabit diminta supaya mematuhi peruntukan undang-undang," kata Adnan.
Sebarang aduan berhubung perkara di atas boleh disalurkan kepada KPDNHEP melalui talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) atau talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 1-800-886-800.
Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata mahu penjualan gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dihentikan segera.
#Akta Perihal Dagangan
#anak
#Asap
#Ghost Smoke
#gula-gula berasap
#Kelantan
#Kota Bharu
#KPDNHEP
#pelajar
#pemantauan
#peruntukan undang-undang
#sekolah
#sempadan
#siasatan