KPDNHEP kawal harga 11 barangan sempena musim perayaan
Fauzi Suhaimi
Mei 19, 2020 16:24 MYT
Mei 19, 2020 16:24 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan 11 jenis barangan kawalan yang terlibat dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) pada musim perayaan kali ini.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata, 11 barangan tersebut termasuk ayam, daging lembu, daging kerbau, telur, daging babi dan kelapa.
Beliau berkata, pelaksanaan skim itu melibatkan tiga perayaan iaitu Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, yang akan disambut tidak lama lagi.
"Pelaksanaan SHMMP bagi ketiga-tiga perayaan tersebut dibuat dengan beberapa penyesuaian tempoh masa dan barangan untuk memberi ruang kepada peniaga memulihkan perniagaan mereka setelah melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekarang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa menjejaskan kepentingan pengguna atau peniaga.
"Hari Raya Puasa dijangka disambut pada 24 Mei dan tarikh skim ini berkuatkuasa adalah bermula 20 Mei (Rabu) hingga 3 Jun iaitu selama 15 hari .
"SHMMP bagi Pesta Kaamatan dan Hari Gawai pula akan bermula dari 28 Mei hingga 3 Jun 2020 iaitu selama tujuh hari," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, pelaksanaan skim itu bertujuan memastikan harga barangan terpilih terkawal dengan penetapan harga siling di peringkat pasar basah dan penjaja kecil yang menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan.
"Barangan ini mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat yang menyambut perayaan, oleh itu kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran," katanya.
Alexander berkata bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga, tindakan tegas termasuk denda maksimum akan dikenakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya.
#Aidilfitri
#barangan
#Hari Gawai
#hari raya
#kaamatan
#kawalan harga
#model
#musim perayaan
#peniaga
#puasa