KPDNHEP kaji harga, kos kit ujian COVID-19 untuk tentukan harga patut runcit - Nanta

Bernama
Ogos 14, 2021 12:28 MYT
Kit ujian kendiri COVID-19 adalah keperluan penting kepada pengguna untuk mengurus dan menjaga keselamatan kesihatan secara kendiri. - Gambar hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengkaji harga dan kos kit ujian kendiri COVID-19 untuk menentukan harga patut runcit demi kepentingan pengguna.
Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tujuan kajian adalah untuk menentukan harga runcit alat ujian kendiri COVID-19 pada harga yang bersesuaian dan tidak membebankan pengguna.
"KPDNHEP sedang menjalankan libat urus dan kajian kos dan harga serta bekalan alat ujian kendiri COVID-19 terhadap syarikat-syarikat yang telah dilesenkan meliputi setiap rantaian pengedaran, pembekalan hingga peringkat runcit seperti farmasi dan klinik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nanta berkata kit ujian kendiri COVID-19 adalah keperluan penting kepada pengguna untuk mengurus dan menjaga keselamatan kesihatan secara kendiri dalam situasi semasa negara berhadapan dengan cabaran wabak COVID-19.
Pada masa sama, Nanta berkata KPDNHEP juga menyarankan agar pengguna lebih berhati-hati dengan pembelian kit ujian kendiri di pasaran dengan membuat rujukan di laman sesawang rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (eng: Malaysia Device Authority-MDA) di pautan https://portal.mda.gov.my/ mengenai senarai syarikat yang telah diluluskan untuk mengedar dan menjual kit ujian bagi kegunaan awam.
-- BERNAMA
#COVID-19 #kit ujian #Kementerian Kesihatan #KKM #KPDNHEP #Alexander Nanta Linggi #Malaysia
;