KPDNHEP Johor buka sembilan kertas siasatan penjualan RON95 kepada warga asing
Astro Awani
April 28, 2022 15:20 MYT
April 28, 2022 15:20 MYT
JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuka sembilan kertas siasatan terhadap sembilan pengusaha stesen minyak di Johor Bahru.
Kertas siasatan itu dibuka susulan penjualan minyak petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan warga asing.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sejak sempadan negara dibuka, pihaknya menerima 18 aduan di Johor berhubung kesalahan itu.
Katanya tiada aduan diterima di negeri lain yang bersempadan dengan negara jiran, Thailand.
"Pelaksanaan penguatkuasaan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing telah diumum, larangan ini dilaksana serta-merta seluruh negara bukan hanya negeri bersempadan dengan negara asing, Singapura dan Thailand sahaja.
"RON95 tidak bokeh diguna untuk kenderaan nombor pendaftaran asing, hanya pendaftaran Malaysia sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan kerja di stesen minyak Petronas Jalan Lingkaran Dalam di sini hari ini.
Jelas Nanta lagi, sembilan pengusaha stesen minyak telah dipanggil KPDNHEP Johor untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Siasatan juga meliputi rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV).
KPDNHEP juga katanya meningkatkan pemantauan di stesen minyak menerusi Op Samar dimana anggota penguatkuasa memakai pakaian biasa ketika bertugas.
Pihaknya turut meminta agar semua pengusaha stesen minyak mematuhi peraturan.