KPDNHEP jamin stok gula untuk kegunaan tempatan mencukupi
Bernama
Jun 22, 2021 23:14 MYT
Jun 22, 2021 23:14 MYT
SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna memberi jaminan bahawa bekalan gula untuk kegunaan tempatan adalah mencukupi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata pihaknya mendapati kilang Malayan Sugar Manufacturing (MSM) Co. Bhd di Perai, Pulau Pinang baru-baru ini menghadapi masalah teknikal yang menyebabkan kekurangan stok gula di negeri-negeri Pantai Timur.
"Di Kuantan, Pahang saya dapat maklumat ada kekurangan (stok gula) kerana lori yang membawa bekalan gula sudah seminggu tidak tiba, sama juga di Terengganu, tetapi sebelum datang ke sini tadi saya hubungi semula pemborong terbabit dan mereka menyatakan gula sudah sampai.
"Jadi tiada isu bekalan cuma kelewatan berikutan masalah kilang MSM di Perai namun saya difahamkan kilang itu telah beroperasi semula," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas turun padang melawat kilang gula Central Sugar Refinery (CSR) Sdn Bhd di sini hari ini, bagi meninjau pengoperasian dan produksi bekalan gula di peringkat pengilang bagi keperluan domestik negara.
"Kita mengambil inisiatif untuk meninjau keberadaan gula di kilang ini dan hasil tinjauan kita berpuas hati dan dalam masa yang sama kilang di Perai telah mula beroperasi dan tidak lagi menjadi isu. Gula adalah satu keperluan dan kita tidak mahu ia jadi isu baru kekurangan makanan di negara kita," katanya.
-- BERNAMA