KPDNHEP jamin bekalan makanan cukup pada Ramadan, Syawal

Nur Fazlizai Ali
April 2, 2022 06:00 MYT
Beberapa langkah juga akan diambil bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sempena Ramadan dan Aidilfitri nanti. - Foto fail
HULU TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan keperluan harian mencukupi sepanjang tempoh Ramadan dan perayaan Aidilfitri walaupun permintaan dijangka meningkat.
Timbalan Menteri, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya bekerjasama erat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), bagi memastikan bekalan tersebut dapat menampung keperluan pengguna.
Katanya beberapa langkah juga akan diambil bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sempena Ramadan dan Aidilfitri nanti.
BACA: MAFI jamin bekalan daging mencukupi Ramadan dan Syawal ini
"Bekalan sepertimana yang dijanjikan oleh MAFI, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, telur, ayam dan barang-barang yang berkaitan dengan makanan, insyaAllah mencukupi.
"Itu jaminan yang diberi kepada kita oleh MAFI. Kita bukan sahaja percaya pada jaminan tersebut, kita juga ada pegawai yang memantau keberadaan barang, stok-stok yang dijangka akan digunakan menjelang puasa dan juga menjelang raya," katanya.
Jendela Ramadan
Justeru itu, para peniaga diingatkan agar tidak melakukan aktiviti pencatutan atau menaikan harga barangan yang melampau dan tidak munasabah.
Menurut Rosol, pemantauan dan pemeriksaan secara berkala akan dijalankan oleh penguatkuasa KPDNHEP bagi memastikan tiadanya aktiviti pencatutan.
Tegasnya lagi pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kepada mana-mana individu yang didapati bersalah.
#Ramadan #bekalan makanan #Rosol Wahid #KPDNHEP
;