KPDNHEP jamin bekalan ayam semasa mencukupi
Afiezy Azaman
Mei 24, 2021 10:14 MYT
Mei 24, 2021 10:14 MYT
KUALA LUMPUR: Bekalan semasa ayam di pasaran mencukupi walaupun dengan penutupan kilang memproses ayam di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah, Melaka akibat penularan COVID-19.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan untuk memastikan keberadaan dan kestabilan bekalan, termasuk ayam.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata setakat ini tiada aduan berkaitan bekalan ayam di pasaran dan bekalan semasa adalah mencukupi.
"Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mungkin menggunakan isu ini untuk menaikkan harga yang tidak munasabah," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Kilang pemprosesan ayam yang membekalkan ayam proses dan produk-produk berasaskan ayam di seluruh negara itu diarahkan tutup hingga 4 Jun susulan pengesanan 175 kes jangkitan COVID-19 di lokasi.
Mengulas lanjut, Azman berkata ayam-ayam yang diproses di kilang ini diedarkan melalui pasar raya besar, pasar raya, restoran dan premis runcit terpilih sahaja.
"Tiada bekalan ayam proses dan produk berasaskan ayam diedarkan dari syarikat ini kepada pasar-pasar basah.
"Bagi meminimumkan kesan penutupan operasi ini, pihak syarikat akan mendapatkan bantuan dan kerjasama daripada kilang-kilang di bawah rangkaian syarikat yang sama bagi menjamin kesinambungan produk dalam pasaran," ujarnya.
Justeru itu, semua pihak disarankan mengamalkan pendekatan pengguna bijak dan bersedia menyalurkan maklumat berkaitan salahlakuh pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP melalui pelbagai saluran.
Antara saluran aduan termasuk Portal e-aduan.kpdnhep, Call Centre 1-800-886-800, Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, Ez ADU KPDNHEP, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 dan Whatsapp 019-279 4317.
#COVID-19
#Ayam
#pasaran
#kilang memproses ayam
#KPDNHEP
#Azman Adam
#harga
#pasaraya
#premis runcit