KPDNHEP jamin bekalan ayam cukup sehingga selepas Aidilfitri

Bernama
April 22, 2021 12:47 MYT
Nanta berkata, harga ayam dan telur telah ditetapkan dari peringkat ladang dan tidak sepatutnya peniaga atau peruncit berdepan dengan masalah harga tinggi apabila membeli dari pemborong. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Bekalan ayam segar dijamin mencukupi walaupun selepas musim perayaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata kementerian sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pengeluar ayam terbesar dan mereka memberi jaminan bekalan mencukupi.
"Selepas mengadakan konsultasi dengan beberapa pengeluar ayam yang menternak dalam skala besar, mereka memberi jaminan bekalan ayam mencukupi sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri.
"Semalam saya juga ada berhubung dengan pengusaha peladang, beliau juga memberi jaminan kepada saya bahawa bekalan memang ada dan mencukupi. Jadi jangan risau kepada semua," katanya kepada media selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, di sini hari ini.
Mengenai rungutan peniaga ayam yang tidak berpuas hati dengan harga siling RM7.90 sekilogram bagi ayam standard di bawah SHMMP kerana didakwa tidak mendatangkan keuntungan, Nanta berkata pihaknya telah mendapatkan konsultasi daripada pelbagai pihak sebelum membuat penetapan harga.
"Di seluruh negara, 12 item di dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021, dari runcit ke borong mesti ikut harga yang kami tetapkan di setiap peringkat.
"Sebab itu peruncit ni tak sepatutnya kehilangan margin atau keuntungan mereka kerana kami dah teliti dengan mendalam dan pastikan peniaga tidak sepatutnya terjejas," katanya.
SHMMP Hari Raya Puasa 2021 dilaksanakan selama 30 hari bermula semalam (21 April) hingga 20 Mei, melibatkan 12 jenis barangan dalam empat kategori ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.
Nanta berkata, harga ayam dan telur telah ditetapkan dari peringkat ladang dan tidak sepatutnya peniaga atau peruncit berdepan dengan masalah harga tinggi apabila membeli dari pemborong.
Mengenai desakan sesetengah pengusaha daging tempatan yang mahu harga siling dikaji semula, Nanta berkata kementerian tidak berhasrat mengkaji semula harga siling kesemua 12 item di bawah SHMMP itu kerana harga yang ditetapkan telah dipersetujui pihak berkepentingan seperti pemain industri dan kementerian berkaitan.
"Buat masa sekarang saya belum nak buat perubahan (harga siling). Saya berharap semua pihak jangan mempolitikkan hal ini. Kita nak jaga semua bukan nak menganiaya mana-mana pihak. Kami jaga pengguna dan peniaga juga," katanya.
Nanta berkata kerajaan juga hanya menetapkan harga siling untuk bahagian tertentu daging dan bukan keseluruhan lembu, jadi peniaga bebas untuk menjual bahagian lain lembu pada harga yang difikirkan sesuai.
Dalam pada itu, Nanta berkata pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 adalah tepat pada waktunya.
"Ada yang kata kami terlalu lambat melaksanakan skim ini, bukan lambat, tapi kami pantau dulu dan buat libat urus dengan semua pihak.
"Selepas seminggu memang kami letakkan strategi sepertimana sedia maklum, ia dibuat secara berperingkat iaitu hanya 12 item dahulu yang merangkumi daging, ayam, telur dan ikan.
"Bagi sayur masih belum ditetapkan lagi harga siling kerana buat masa sekarang belum ada indikator yang menunjukkan harga sayur yang biasanya dikawal sudah naik harga," katanya.
-- BERNAMA
#Ayam #bekalan #ayam segar #Alexander Nanta Linggi #Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna #KPDNHEP #Raya #Aidilfitri
;