KPDNHEP guna teknik penyamaran pantau harga tidak munasabah di premis makanan

Bernama
Ogos 21, 2022 17:37 MYT
Terdapat rungutan oleh pengguna mengenai harga makanan yang tidak diturunkan meskipun harga bahan mentah seperti ayam kini jauh lebih murah. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengaktifkan pemantauan dengan teknik penyamaran oleh pegawai penguat kuasanya di premis makanan di setiap negeri bagi mengesan peniaga yang menaikkan harga tidak munasabah.
Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, ia susulan terdapat rungutan oleh pengguna mengenai harga makanan yang tidak diturunkan meskipun harga bahan mentah seperti ayam kini jauh lebih murah berbanding beberapa bulan lepas.
Beliau berkata penurunan harga makanan dilihat perlu dibuat selaras dengan harga bahan mentah yang semakin stabil hasil intervensi dan langkah penyelesaian oleh kerajaan untuk mengatasi isu kenaikan harga barang keperluan asas sebelum ini termasuk menerusi pemberian subsidi, penetapan harga siling dan Jualan Murah Keluarga Malaysia yang turut memanfaatkan peniaga makanan.
"Kita serius mengenai perkara tersebut kerana contohnya apabila harga ayam naik, esok tu juga harga makanan seperti nasi ayam terus naik sebagai contoh daripada RM8 jadi RM12.
"Sekarang ini, harga ayam telah turun tetapi kita perhatikan masih ramai peniaga belum turunkan harga makanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai Syariah Negeri Terengganu Ke-3 di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah pegawai penguat kuasa yang menyamar dengan berpakaian biasa seperti orang awam bergantung kepada keperluan di setiap negeri dan aktiviti penyamaran ini akan kerap dilakukan di bandar besar yang mempunyai banyak premis makanan.
Dalam pada itu, Rosol menyeru pengguna supaya segera melaporkan kepada kementerian sekiranya mereka mendapati terdapat premis makanan menaikkan harga secara tidak wajar.
"Kita (KPDNHEP) boleh ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kerana mengambil keuntungan berlebihan namun sekiranya ada kes, kita siasat dan kaji terlebih dahulu misalnya peniaga tersebut beli bahan mentah pada harga berapa ringgit dan sebagainya. Kalau kita dapati harga makanan yang dijual tidak patut dinaikkan sebegitu rupa, kita akan ambil tindakan," katanya.
-- BERNAMA
#KPDNHEP #penyamaran #premis makanan #harga makanan
;