KPDNHEP digesa jelaskan isu kenaikan harga barang di pedalaman Bintulu
Nuzuluddin Abdul Razak
April 28, 2022 09:15 MYT
April 28, 2022 09:15 MYT
BINTULU: Kehidupan penduduk rumah panjang di kawasan pedalaman Bintulu masih bergelut dengan kenaikan harga barang sehingga dua ke tiga kali dari harga barangan yang dijual di bandar.
Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata situasi tersebut tidak sewajarnya berlaku selepas kerajaan memperuntukkan lebih RM100 juta setahun untuk mengatasi isu berkenaan.
“Peruntukkan disediakan untuk menyediakan elaun pengangkutan dan kuota bekalan keperluan di pedalaman Sarawak, termasuk beras, minyak masak, tepung, gula, tong gas, minyak diesel, petrol dan lain-lain barangan keperluan.
“Namun apabila saya melawat rumah panjang di kawasan pedalaman, ramai penduduk merungut kerana harga barangan keperluan di tempat mereka sering naik dan mencecah paras tertinggi baru-baru ini,” katanya melalui satu hantaran di akaun Facebook miliknya pada Khamis.
Justeru Tiong menggesa agar pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tampil untuk menjawab isu berkenaan yang dikenalpasti berlaku hampir setiap tahun.
“Apakah pihak berkuasa telah menjalankan pengawasan yang ketat? Saya minta KPDNHEP memberi penjelasan yang munasabah, adakah subsidi diesel, beras, minyak dan gula ini benar-benar sampai ke kawasan pedalaman?
“Jika soalan ini tidak dapat dijelaskan dengan munasbah, Ketua Cawangan KPDNHEP Bintulu harus bertanggungjawab dan meletakkan jawatan,” tegasnya.
Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu juga menyeru agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung perkara berkenaan.
“Penduduk rumah panjang ingin tahu, siapa sebenarnya yang menguruskan perkara mustahak ini? Adakah anda fikir kawasan pedalaman yang dikelilingi gunung-ganang dan berada jauh dengan pusat pentadbiran kerajaan, maka anda boleh buat sesuka hati dan merasakan tiada siapa tahu?
“Hakikatnya, aduan seperti ini telah dilaporkan berulang kali, menunjukkan bahawa pegawai berkenaan tidak dapat melakukan sesuatu dengan serius.
“Sejak saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bintulu selama lima penggal, isu ini tidak dapat diselesaikan dengan baik, malah ia menjadi lebih teruk lagi,” katanya.