KPDNHEP beri amaran jangan salah guna kebenaran makan di restoran

Afiezy Azaman
Februari 10, 2021 11:11 MYT
Alexander berkata, pengumuman kerajaan tepat pada masanya dan sangat dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh pemain industri terbabit, malah seluruh pengguna.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran supaya tidak disalah guna kebenaran membuka semula beberapa aktiviti perniagaan, khususnya kebenaran makan di restoran.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua premis perniagaan wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan.
"Begitu juga diharapkan daripada pembeli dan pengguna untuk bekerjasama mematuhi SOP seperti sentiasa memakai pelitup muka, mendaftar kehadiran dengan MySejahtera, menjaga penjarakan sosial, mencuci tangan dengan cecair sanitasi dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 untuk bersama-sama memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan.
"Kementerian akan terus memantau dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada pemilik perniagaan yang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, sehingga 7 Feb 2021, sebanyak 357,489 premis perniagaan telah diperiksa berhubung pematuhan SOP oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara.
"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 112 premis perniagaan telah dikenakan kompaun di bawah Akta 342," ujarnya.
KPDNHEP dan seluruh komuniti peruncit turut mengucapkan terima kasih kepada kerajan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas persetujuan membuka semula 17 aktiviti sektor perdagangan pengedaran yang bermula hari ini.
"Sesungguhnya pengumuman ini tepat pada masanya dan sangat dinanti-nantikan, bukan sahaja pemain industri yang terbabit, malah kepada seluruh pengguna yang telah lama menunggu pembukaan semula aktiviti tersebut.
"Saya yakin, seluruh pemain industri dan pengguna akan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19 dan pada masa yang sama berganding bahu memulihkan ekonomi negara," kata Alexander.
#SOP #ekonomi #COVID-19 #Majlis Keselamatan Negara #penyakit berjangkit #KPDNHEP #keselamatan #operasi #penjarakan sosial #pelitup muka #Alexander Nanta Linggi #Premis perniagaan #kompaun #restoran #makan #pembukaan semula
;