KPDNHEP banteras jualan pencuci pakaian tiruan dalam talian
Bernama
Julai 22, 2020 20:55 MYT
Julai 22, 2020 20:55 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), berjaya membanteras penjualan serbuk pencuci pakaian tiruan melalui transaksi dalam talian di laman media sosial Facebook.
Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman dalam kenyataannya hari ini berkata, modus operandi peniaga barang tiruan tersebut ialah dengan mengiklankan produk serbuk pencuci pakaian yang didakwa jenama Top dengan harga yang lebih murah, bagi menarik perhatian pembeli.
"Hasil maklumat yang diterima daripada pengadu yang merupakan wakil pemilik cap dagang berdaftar serbuk pencuci pakaian Top mengenai penjualan tersebut, KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di sebuah premis kediaman di Cheras. Sebanyak 651 unit serbuk pencuci dengan pembungkusan jenama Top ditemui," katanya lagi.
Jelas Iskandar Halim, perbandingan serbuk pencuci tiruan dan dan asli mendapati dari segi pembungkusan serbuk pencuci tiruan berkualiti rendah dan terdapat kesalahan ejaan pada kotak pembungkusan. Kesemua serbuk pencuci tiruan tersebut telah dirampas untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan RM4,882.50.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019, iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
Iskandar Halim turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama di pasaran, agar tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika dan cuba mengambil keuntungan dengan mudah.
-- BERNAMA