KPDNHEP akan umum 20 lagi barang kawalan
Ridauddin Daud
April 23, 2021 13:08 MYT
April 23, 2021 13:08 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengumumkan kira-kira 20 lagi barangan yang akan diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia adalah tambahan kepada 12 barangan yang diumumkan pada 21 April lepas.
"Yang kita dah umum 12 jenis dan kita akan umum tambahan lagi. Berkemungkinan keseluruhannya nanti lebih daripada 30 barang termasuk yang kita dah umum.
"Mengapa kita belum umum? Sebab barangan lain itu belum lagi ada tekanan (permintaan terkawal). Kita nak kena adil juga kepada peniaga.
"Kalau sekat dari sekarang, ia akan beri masalah kepada peniaga. Kerajaan prihatin terhadap semua, sebab itu kita tidak lakukan dengan tergesa-gesa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengiringi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP di sini pada Jumaat.
Untuk rekod, fasa pertama SHMMP Hari Raya Puasa melibatkan 12 jenis barangan terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan hasil laut, manakala kategori sayuran dan barangan kering akan diumumkan dalam masa terdekat.
[TERKINI] Barang naik harga, kerajaan ambil tindakan tegas
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, setakat semalam, pihaknya sudah menjalankan pemeriksaan terhadap 4,411 premis sejak SHMMP bermula.
"Ada empat aduan kami terima dan satu dikenakan tindakan. Kita masih lagi meneruskan pemeriksaan macam biasa di seluruh negara.
"Pemeriksaan akan terus dipertingkatkan lagi untuk pastikan pematuhan. Sehingga semalam, kami memeriksa 99 pemborong dan selebihnya peruncit," ujarnya.
Baru-baru ini, isu kenaikan harga barang hangat diperkatakan selepas rakyat mendakwa harga bahan mentah seperti ikan, ayam dan daging naik mendadak.
Kenaikan Harga | Pengguna harap skim harga maksimum selesai isu
#harga barang
#KPDNHEP
#Alexander Nanta Linggi
#pengguna
#kerajaan
#konsumer
#barang kawalan
#skim harga maksimum
#SHMMP