KPDNHEP akan kaji semula Program Subsidi Petrol - Nanta
Najmi Syahiran Mamat
Mac 12, 2020 14:20 MYT
Mac 12, 2020 14:20 MYT
Kerajaan akan mengkaji pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang ditangguhkan kerajaan terdahulu untuk diperkenalkan semula demi kesejahteraan rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata beliau akan menyemak semula pelaksanaan PSP bersama pegawai-pegawai di kementeriannya dengan memberi fokus kepada isu-isu yang membabitkan rakyat.
"Sesuatu yang telah sedia ada atau dicadangkan, jika saya yakin ia bagus, kenapa kita tidak melihatnya secara positif. Kita boleh meneruskannya jika ia baik untuk rakyat dan negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada hari pertama bertugas di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini, hari ini.
Pada Disember lalu, Kabinet memutuskan supaya pelaksanaan PSP tidak diteruskan sehingga ditentukan kelak bagi memberi lebih ruang kepada penerangan dan penjelasan untuk rakyat.
Terdahulu, Nanta dan timbalannya Datuk Rosol Wahid menerima sambutan rasmi daripada warga KPDNHEP dan mengetip kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas di kementerian itu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Sementara itu, ditanya mengenai saranan pengusaha petrol supaya kerajaan menetapkan harga lantai petrol dan diesel susulan perang harga dunia, Nanta berkata, kementeriannya akan mengkaji cadangan itu.
"Kami perlu mendengar daripada semua pihak dan memastikan percambahan idea dilakukan dan jika ia baik maka kami akan mencadangkannya kepada kerajaan," katanya.
Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) sebelum ini mencadangkan harga lantai untuk petrol dan diesel diperkenalkan memandangkan harga bahan api itu dijangka turun lagi berikutan perang harga minyak dunia.
Beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, walaupun masih baharu di KPDNHEP itu, namun dasar-dasar dan strategi dalam memantau isu-isu semasa dalam negara dan di peringkat antarabangsa, akan tetap diteruskan.
Mengulas lanjut mengenai peranannya sebagai wakil Sarawak dalam Kabinet baharu kerajaan Perikatan Nasional, Ahli Parlimen Kapit itu berkata beliau tidak akan menumpukan kepada Sarawak sahaja, sebaliknya pelantikannya adalah untuk negara secara keseluruhannya.
"Seperti saya maklumkan sebelum ini, saya tidak dilantik sebagai menteri untuk Sarawak sahaja. Saya adalah menteri untuk Malaysia.
"Dalam konteks Sarawak, memang akan ada jangkaan dari kementerian ini terhadap pembangunan di Sarawak, seperti kos sara hidup rakyat di sana, maka saya juga akan melakukan yang terbaik untuk itu," katanya.
#hak pengguna
#kepenggunaan
#kerajaan
#kpdn
#KPDNHEP
#Malaysia2020
#perdagangan dalam negeri
#Putrajaya