KPDNHEP akan bawa lebih banyak francais tempatan ke pasaran antarabangsa

Bernama
Oktober 19, 2022 00:00 MYT
Francais tempatan telah berkembang sebagai jenama terkemuka di seluruh dunia dengan lebih 68 jenama di 74 negara. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memasarkan lebih banyak produk francais tempatan, terutama yang mempunyai kelainan tersendiri, ke peringkat antarabangsa.
Menurut KPDNHEP dalam kenyataan pada Selasa, francais tempatan telah berkembang sebagai jenama terkemuka di seluruh dunia dengan lebih 68 jenama di 74 negara.
Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDNHEP Datuk Rohaizi Bahari dalam kenyataan sama berkata ketika ini, sebanyak sembilan jenama francais Malaysia sudah berjaya berkembang di Filipina.
"Kita mahu ia terus bertambah memandangkan jenama francais Malaysia jelas memiliki potensi di sini (Filipina).
"Di Filipina ini kita lihat ada potensi pasaran yang besar kerana persamaan cita rasa dan budaya rakyatnya. Jadi, ini memudahkan kita bekerjasama dan memperluaskan lagi produk francais tempatan," katanya.
Menurut KPDNHEP, kementerian itu telah mengadakan misi perdagangan francais ke Manila bermula 14 hingga 16 Okt lepas.
"Inisiatif misi perdagangan itu, yang merupakan satu program pengembangan francais dilaksanakan di bawah Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP), adalah yang kelima dijadualkan tahun ini selepas Jeddah, Johannesberg dan Indonesia," menurut kenyataan itu.
Delegasi KPDNHEP ke Manila diketuai Rohaizi dan disertai Persatuan Francais Malaysia (MFA) serta lapan syarikat francais terkemuka tempatan antaranya Aloha, Cheeseu, HOME Math Therapy, Laundrybar, Marrybrown, Muzart, Oldtown White Coffee dan US Pizza.
Menurut kenyataan itu, delegasi Malaysia turut mengadakan beberapa aktiviti lain seperti pertemuan dengan pihak Malawakil dan pihak agensi kerajaan di Filipina serta lawatan ke cawangan jenama francais Filipina dan cawangan jenama francais Malaysia yang telah menembusi pasaran negara itu iaitu Tealive.
-- BERNAMA
#KPDNHEP #francais #pasaran antarabangsa #Rohaizi Bahari