KPDN umum lapan jenis barangan SHMMP menjelang Deepavali
Faida Rahim, Intan Shanim Sulaiman
Oktober 24, 2024 12:30 MYT
Oktober 24, 2024 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 selama tujuh hari bermula 28 Oktober hingga 3 November depan.
Ringkasan AI
- KPDN melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 dari 28 Oktober hingga 3 November, melibatkan lapan jenis barangan termasuk daging kambing biri-biri bertulang import.
- Tempoh pelaksanaan adalah tiga hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan, dan tiga hari selepas perayaan.
- Harga maksimum ditentukan berdasarkan permintaan, penawaran, kos semasa, cuaca, dan kadar upah.
- Peniaga yang tidak mematuhi peraturan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, dengan penalti bagi kesalahan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu pelaksanaan SHMMP melibatkan lapan jenis barangan, termasuk daging kambing biri-biri bertulang import.
“Tempoh pelaksanaan, tiga hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan, dan tiga hari selepas perayaan.
“Begitu juga kita mengambil kira faktor penawaran dan permintaan, implikasi kos ditanggung oleh para peniaga, kerana kita melindungi, mengimbangkan kedua-dua aspek kepentingan pengguna dan dari segi perniagaan para pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman SHMMP, di Nu Sentral, pada Khamis.
Barangan lain termasuk tomato, cili merah, kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja), bawang merah kecil (India) termasuk ros, bawang merah besar import, dan kacang dal (Australia).
Tambah beliau, senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah, dan lain-lain.
Dalam pada itu, pihaknya berharap semua pihak mematuhi harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
Beliau turut memaklumkan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” katanya.
#Armizan Mohd Ali
#Deepavali
#Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan
#Skim Harga Maksimum Musim Perayaan
#SHMMP
#terkini