KPDN terus pantau kurma Israel di pasaran - Armizan
Hasimi Muhamad
Mac 14, 2024 11:00 MYT
Mac 14, 2024 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau produk-produk kurma dari Israel yang berada di pasaran.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pemantauan tersebut dijalankan melalui pelbagai akta di bawah KPDN khususnya Akta Perihal Dagangan 2011.
Jelas beliau, di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, KPDN tidak mempunyai bidang kuasa bagi mempertimbangkan lesen import sebarang produk dari Israel.
"Kita telah serta-merta memasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan terma rujukan Ops Pantau yang telah kita lancarkan khas untuk Ramadan dan Aidilfitri, untuk melihat secara terperinci penjualan kurma yang didakwa tersebut.
"Dan kita berharap kerjasama daripada seluruh masyarakat dan aduan awam dalam platform-platform rasmi di KPDN," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), yang mahu tahu tindakan KPDN untuk mengatasi isu penjualan produk dari Israel secara dalam talian.
Rosol juga bertanya adakah kerajaan akan meminda undang-undang bagi memastikan produk dari negara berkenaan tidak masuk ke Malaysia.
Armizan menambah, KPDN memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mempunyai maklumat berhubung pihak tidak bertangungjawab yang cuba mengelirukan pengguna.
"Di bawah Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM 100,000, atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya (individu dan syarikat) boleh didenda sehingga RM250,000," katanya.
Pada Rabu, media melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas 73 pek buah kurma 'Organic Jumbo Medjool Dates' yang dipercayai produk dari Israel.
Kurma seberat 14.6 kilogram bernilai RM678 itu dirampas di sebuah gudang di sekitar Klang, selain seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an dipercayai pemilik perniagaan berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Armizan turut memaklumkan KPDN membuka sebanyak 11 kes siasatan termasuk enam kes melibatkan pencatutan sepanjang dua hari Ops Pantau di bazar Ramadan di seluruh negara.
Jelas beliau, dalam operasi pada 12 dan 13 Mac itu, sebanyak 3,099 premis turut diperiksa.