KPDN Terengganu rampas lebih 30,000 liter diesel dipindah tanpa kebenaran

Bernama
Februari 10, 2025 21:45 MYT
Saharuddin berkata semua bahan bakar itu dirampas pada pukul 12.30 tengah hari selepas pemiliknya didapati melakukan kesalahan memindahkan diesel tanpa kebenaran pengawal bekalan. - Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas sebuah lori tangki dan lima tangki gelongsor yang memuatkan 32,760 liter diesel di sebuah stor di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.
Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata semua bahan bakar itu dirampas pada pukul 12.30 tengah hari selepas pemiliknya didapati melakukan kesalahan memindahkan diesel tanpa kebenaran pengawal bekalan.
"Hasil seminggu risikan, pihak berkuasa mendapati modus operandi mereka adalah menggunakan perkhidmatan lori tangki yang tertera logo dan perkataan 'Persatuan Nelayan Kebangsaan' di bahagian sisi badan lori tangki, manakala di bahagian belakang lori tertera logo dan perkataan 'Diesel Subsidi Nelayan'.
"Ketika serbuan kira-kira 16,000 liter minyak diesel telah dipindahkan dari lori tangki ke skid tank dengan menggunakan paip saluran getah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati lori tangki berkenaan tidak memiliki sebarang lesen, permit atau surat kebenaran Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan iaitu diesel.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM371,069 dan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 60-an serta seorang lelaki warga Myanmar ditahan bagi membantu siasatan," katanya dan menambah siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA
#kpdn #kos sara hidup #surat kebenaran #subsidi
;