KPDN Teluk Intan sita 170 botol susu kacang soya, 4,300 label logo halal palsu

Aida Aziz
Jun 27, 2023 23:36 MYT
Premis kediaman tersebut disyaki beroperasi menggunakan logo halal tanpa perakuan dan kebenaran dari Jakim. - KPDN Perak
TELUK INTAN: Risikan beberapa hari di sebuah kediaman yang diubah suai menjadi premis memproses makanan dan minuman berjaya membongkarkan kegiatan penggunaan logo halal dipercayai palsu membabitkan minuman susu kacang soya di Hutan Melintang, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, dalam serbuan pagi Selasa, KPDN Teluk Intan telah menyita 170 botol susu kacang soya dan 4,300 unit label yang mempunyai logo halal palsu.
"Sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Teluk Intan melaksanakan operasi bersepadu bersama Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak dan Majlis Perbandaran Teluk Intan yang melibatkan operasi pemeriksaan penggunaan logo halal.
"Hasil pemeriksaan di premis berkenaan mendapati terdapat susu kacang soya yang siap diproses dan dibotolkan yang disyaki menggunakan logo halal palsu untuk diedarkan ke premis perniagaan runcit di sekitar Teluk Intan.
"Premis kediaman tersebut disyaki beroperasi menggunakan logo halal tanpa perakuan dan kebenaran dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Beliau berkata, semakan awal Bahagian Pensijilan Halal, Jabatan Agama Islam Ipoh mengesahkan premis itu tidak diberikan sebarang pensijilan atau kebenaran untuk menggunakan logo halal pada produknya.
Jelasnya, seorang lelaki berusia 58 tahun yang dipercayai pemilik perniagaan tersebut ditahan bagi siasatan lanjut.
"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1,182.50 dan kes disiasat di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya.
Justeru katanya, KPDN akan sentiasa menjalankan operasi yang melibatkan kerjasama dari pelbagai agensi khususnya Jabatan Agama Islam.
Ia bagi memastikan pihak industri tidak menyalahgunakan logo halal atau menggunakan apa-apa perakuan dan penandaan halal tanpa kebenaran yang sah.
"Pihak industri yang terlibat perlu berhenti mengelirukan pengguna dengan sijil dan logo halal tanpa kebenaran atau palsu bagi melariskan jualan mereka.
"Pihak KPDN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana premis yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.
#logo halal #kpdn #logo palsu #susu soya
;