KPDN Tapah sita 55 tong gas LPG
Aida Aziz
Februari 24, 2023 07:45 MYT
Februari 24, 2023 07:45 MYT
TAPAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tapah berjaya menyita 55 tong gas petroleum cecair (LPG) pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah premis dekat Tapah Road, di sini, pada Jumaat petang.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, barang kawalan tersebut ditemui ketika pemeriksaan dijalankan di premis tersebut pada jam 3 petang.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas premis itu adalah hasil daripada aduan awam berkaitan penjualan runcit barang kawalan LPG.
"Ketika pemeriksaan dilakukan, seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun yang disyaki pemilik premis turut berada di premis yang sedang berurus niaga.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis menemui sebanyak 55 tong gas pelbagai jenama yang disyaki berisi gas LPG berada di dalam premis tersebut.
"Pemeriksaan juga mendapati pemilik premis gagal mengemukakan lesen barang kawalan yang sah ketika diperiksa," katanya kepada pemberita malam tadi.
Beliau berkata, selain tong gas LPG, KPDN Cawangan Tapah turut menyita buku rekod jualan, invois pembelian dan dokumen lain dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM5,676.
Jelasnya lagi, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai untuk mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan pihak berkuasa dalam menjalankan aktiviti jualan gas LPG runcit.
Katanya lagi, tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa yang didapati melakukan aktiviti jualan gas LPG runcit tanpa lesen dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Masyarakat dan pengguna disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.