KPDN tambah baik pelaksanaan Jualan Rahmah tahun depan - Armizan
Bernama
Oktober 22, 2023 05:00 MYT
Oktober 22, 2023 05:00 MYT
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited untuk menambah baik inisiatif Program Jualan Rahmah sebagai usaha memastikan manfaatnya terus dinikmati golongan sasar di seluruh negara pada tahun depan.
Pemangku Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata ini termasuk merintis Program Pasar Rahmah sebagai antara kaedah memperluas konsep penganjuran Jualan Rahmah selaras dengan manifestasi kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata maklum balas masyarakat daripada semua peringkat terhadap Program Jualan Rahmah adalah baik yang dapat dilihat menerusi 2,723 siri penganjuran program itu di seluruh negara, setakat Sabtu.
"Sebagaimana diketahui, Program Jualan Rahmah dimulakan dalam premis (dan) luar premis, kemudian kita rintis secara bergerak, dengan (barang jualan) boleh diperoleh pada kadar diskaun 10 hingga 30 peratus.
"Tahun depan, kita (KPDN) cuba merintis satu kaedah baru dinamakan Program Jualan Rahmah di Pasar Rahmah sebagai pendekatan menambah baik dan memastikan kebolehcapaian dan keterlihatan program itu dalam kalangan masyarakat," katanya.
Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas Tugas Khas) berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Bergerak di Kampung Warisan, Darau, dekat sini, pada Ahad.
Beliau juga berharap komitmen menambah baik inisiatif program itu dapat dilakukan menerusi peruntukan tambahan RM150 juta bagi kementerian berkenaan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024, baru-baru ini.
"KPDN telah mendapat peruntukan sejumlah RM150 juta untuk meneruskan Program Jualan Rahmah pada tahun hadapan.
"Kami amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau yang melihat program ini sebagai antara strategi intervensi dan mitigasi dalam kita menghadapi peningkatan kos sara hidup," katanya.
-- BERNAMA