KPDN tambah baik aplikasi 'price catcher' untuk tarik lebih ramai pengguna

Bernama
Ogos 20, 2023 20:35 MYT
Armizan berkata libat urus bersama pemegang taruh, pelanggan, persatuan pengguna dan pemain industri akan dilaksanakan bagi tujuan itu. - Gambar fail/FB Armizan
JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menambah baik aplikasi mudah alih "Price Catcher" dalam usaha untuk menarik lebih ramai pengguna aplikasi tersebut.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata libat urus bersama pemegang taruh, pelanggan, persatuan pengguna dan pemain industri akan dilaksanakan bagi tujuan itu.
Beliau berkata antara aspek yang akan diambil perhatian adalah dari segi promosi serta menjadikan aplikasi berkenaan yang telah dimuat turun 293,499 pengguna setakat ini, lebih informatif dan interaktif.
"Setakat ini aplikasi itu telah dimuat turun seramai 293,499 orang sahaja berbanding jumlah populasi negara kita, kadar pelawat harian pula hanya 2,000 orang, sedangkan maklumat di dalam aplikasi itu sebenarnya cukup bermanfaat.
"Kita masih belum berpuas hati, sebab itu kita telah bincangkan dan menjadi agenda untuk dapatkan pandangan, input daripada pemegang taruh KPDN dan sebagainya, bagaimana dan apa bentuk supaya aplikasi ini dapat digunakan secara meluas," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Outreach Sara Hidup di bawah inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai Pelajar Tingkatan Enam dan Diploma Kolej Vokasional Peringkat Negeri Johor 2023, di sini, hari ini.
Armizan berkata aplikasi itu menyenaraikan 480 barangan, dan pengguna boleh mendapatkan maklumat perbandingan harga barangan pilihan di premis yang berada dalam radius 10 kilometer (km) bagi semenanjung, dan 20 km bagi Sabah dan Sarawak.
Katanya sejak dilancarkan pada 2019, sistem aplikasi itu telah melalui dua proses penambahbaikkan.
"Setakat ini, aplikasi ini cukup baik, tetapi mungkin bergantung kepada tahap kecelikan teknologi digital masyarakat kita, trend penggunaan yang lebih suka tidak membuat perbandingan harga.
"Itu sebabnya bagi perbandingan harga ini kita ingin galakkan penggunaan aplikasi secara digital yang jauh lebih berkesan dan boleh salurkan info berkenaan dengan serta-merta untuk pengguna membuat pilihan," katanya.
Aplikasi Price Catcher boleh dimuat turun menggunakan telefon bimbit yang mempunyai platform iOS dan Android.
-- BERNAMA
#kpdn #platform iOS dan Android #aplikasi digital #Price Catcher
;