KPDN tahan dua lelaki seleweng diesel bersubsidi
Bernama
Mac 7, 2023 11:01 MYT
Mac 7, 2023 11:01 MYT
IPOH: Taktik berulang-alik empat kali sehari bagi membeli minyak diesel bersubsidi untuk kegunaan syarikat komersial akhirnya membawa padah apabila dua lelaki tempatan ditahan bersama lori dan bahan api itu di Lumut, dekat sini petang semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata kedua-duanya yang berusia 69 dan 53 tahun ditahan di kawasan kuari Pundut, menerusi Ops Tiris.
"Kejayaan penahanan adalah hasil pemantauan dan intipan oleh KPDN selama seminggu ke atas aktiviti pembelian minyak diesel di stesen minyak sekitar Manjung menggunakan lori yang diubah suai tangki asalnya dan mereka akan berulang-ulang ke stesen minyak bagi mengaburi kegiatan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata modus operandi itu mampu memperoleh 250 liter diesel dan akan dialihkan dari lori untuk disimpan bagi kegunaan jentera, mesin atau kenderaan milik syarikat.
"Sepatutnya mereka tidak boleh menggunakan diesel bersubsidi sebaliknya perlu menggunakan diesel kategori komersial atau industri," katanya.
Pada operasi itu, pasukan KPDN turut menemukan sebuah tangki berkapasiti maksimum 15,000 liter, cecair disyaki minyak diesel dianggarkan 2,250 liter dan peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak diesel dengan semua barang yang disita dianggar berjumlah RM46,800.
Katanya kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
-- BERNAMA